Honda Super Cub 110 Pro 2022 untuk kegunaan perniagaan diperkenalkan di pasaran Jepun

Honda baru-baru ini telah memperkenalkan model terbaharu Honda Super Cub 110 Pro 2022 untuk pasaran domestik Jepun. Model kapcai khusus untuk kegunaan perniagaan itu tersedia dalam satu pilihan warna tunggal Seychelles Night Blue, dan harganya ialah sebanyak 346,500 Yen, bersamaan RM 11,851.01 mengikut kadar mata wang semasa.

Honda Super Cub 110 Pro kini dilengkapi enjin baharu yang lebih berkuasa, lebih tahan lasak dan lebih ekonomi. Enjin 109cc (air-cooled 4-stroke OHC single cylinder) itu turut mematuhi piawaian emisi yang terkini, menjadikannya lebih mesra alam sekitar. Dengan padanan kotak gear empat kelajuan, jumlah kuasa maksimum yang dihasilkan enjin itu mencapai paras 8.0PS @ 7,500rpm, dengan tork maksimumnya 8.8Nm @ 5,500rpm.

Spesifikasi menarik lain pada model Honda Super Cub 110 Pro 2022 ini adalah seperti fork depan teleskopik dan penyerap hentak belakang berkembar yang kuat, brek cakera depan dengan penutup dan sistem ABS, rim roda tuangan bersaiz 14 inci dengan tayar tanpa tiub, panel meter semi digital, tuil brek depan dengan ciri kunci, tangki bahan api 4.1 liter, lampu depan LED, dan lampu posisi untuk tahap keselamatan yang lebih baik.

Sebagai sebuah kapcai perniagaan, Honda Super Cub 110 Pro ini didatangkan dengan bakul depan yang besar dan kukuh, carrier belakang yang luas dan mampu membawa banyak muatan barang-barang dengan mudah, dan juga termasuklah tongkat sisi yang diperkuatkan serta stabil walaupun ketika sedang memuat dan memunggah barangan.

Menurut Honda, model tersebut akan berada di pasaran Jepun secara rasmi mulai dari 19hb. Mei 2022 akan datang, dengan sasaran jualannya sebanyak 1,700 unit setahun.