Di pasaran Malaysia, salah sebuah model moped berprestasi tinggi dengan enjin paling besar dan paling berkuasa ialah SYM VF3i 185. Untuk musim kali ini, salah satu varian yang ditawarkan untuk model tersebut ialah SYM VF3i 185 LE V2 2022, yang kini tampil dengan warna terbaharu Royal Orange yang kelihatan cukup menarik dan menyerlah.
SYM VF3i 185 LE V2 2022 itu pastinya merupakan kesinambungan bagi versi terdahulu iaitu SYM VF3i 185 LE 2022. Harga jualan asasnya pula berdasarkan paparan di dalam laman sesawang Mudah.my adalah sekitar RM 9,800.00 sahaja. Spesifikasi pada model berkenaan pula masih sama, termasuk dilengkapi sistem brek ABS yang lebih selamat.
Kita imbas kembali spesifikasi enjinnya, iaitu bersesaran 183cc dengan keluaran kuasa maksimum 19.7hp @ 9,000rpm dan tork maksimum 17.4Nm @ 7,500rpm. Enjin dengan prestasi yang cukup memuaskan itu kemudiannya dipadankan dengan kotak gear enam kelajuan, bersama-sama klac tangan manual. Dengan kapasiti tangki bahan api 7.0 liter, ianya bukanlah lagi alasan untuk memandang model sporty ini dengan sebelah mata.
Seterusnya, ciri-ciri menarik lain yang melengkapi SYM VF3i 185 LE V2 2022 ini adalah seperti visor aero (penghadang angin aerodinamik), speedometer yang bergaya dengan penunjuk pelbagai informasi, lampu DRL jenis LED yang terang, lampu belakang LED, sistem brek cakera, serta tayar dalam saiz 90/80-17 (depan) dan 120/70-17 (belakang).
Selain itu untuk makluman anda, di pasaran ketika ini SYM Malaysia turut menawarkan model SYM VF3i 185 V2 2021, yang diperkenalkan pada penghujung tahun yang lepas. Model berkenaan kini tampil dengan skim warna terbaharu Biru, Merah dan Emas, yang kemudiannya digabungkan dengan rekaan jalur grafik terbaharu yang lebih menyerlah.
Sumber gambar : LSN Part Centre FB