Daiichi Sirius 110Z tampil sporty, kapcai 110cc dari Sarawak

Daiichi Motors merupakan pengeluar motosikal tempatan yang beralamat di Kuching, Sarawak. Suatu ketika dahulu syarikat berkenaan pernah menawarkan model sport bike Daiichi Megelli 250RR, di samping beberapa buah model menarik yang lain. Ketika ini Daichii Motors masih menawarkan model kapcai keluarannya iaitu Daiichi Sirius 110Z.

Setakat mana yang diketahui, Daiichi Sirius 110Z ketika ini hanya ditawarkan di pasaran Sarawak sahaja, dan harga jualannya tidak diketahui. Ianya merupakan sebuah model yang telah lama diperkenalkan, namun masih bertahan sehingga ke hari ini. Menariknya penampilan model tersebut kini telah berubah, dengan skim warna yang lebih sporty.

Daiichi Sirius 110Z dilengkapi enjin 106.8cc (empat lejang, sejukan udara) dengan kotak gear empat kelajuan. Enjin dengan sistem karburetor itu menawarkan kuasa maksimum 6.57hp @ 7,000rpm, dengan tork 7.3Nm @ 4,500rpm. Kapasiti tangki bahan apinya 4.3 liter. Tayar depan dan belakangnya pula didatangkan dalam siri 70/90-17 dan 80/90-17.

Menurut pengeluarnya, antara kelebihan pada model Daiichi Sirius 110Z ini termasuklah digital speedometer, stylish face, brake disc, low consumption engine, sport muffler dan sport rims. Empat pilihan warna untuk model yang dipasang di negeri Sarawak itu ialah Pearl White, Lemon Green Metallic, Pearl Nightfall Red dan juga Galaxy Night Black.

Sumber : N. B. Motors Trading FB