Sekitar bulan Ogos 2021 yang lepas, Suzuki telah melancarkan model kapcai terbaharu Suzuki Smash Fi Next Edition untuk pasaran Thailand. Tampil dengan reka bentuk yang menarik dan sporty, tahap penjimatan petrol untuk model tersebut juga dikatakan begitu memuaskan, iaitu mampu ditunggang dalam jarak jauh dengan hanya setangki penuh.
Berdasarkan ujian yang telah dilakukan oleh Suzuki Motosales Thailand, Suzuki Smash Fi Next Edition mampu mencapai jarak perjalanan sejauh 66.7 km bagi setiap liter petrol yang digunakan. Ini bermakna walau pun ianya hanya mempunyai kapasiti tangki bahan api maksimum 3.7 liter, jarak perjalanan yang boleh dicapainya mencecah 246.79 km.
Dengan jarak perjalanan sejauh itu, kekerapan berhenti di stesen minyak untuk mengisi petrol akan berkurangan, seterusnya menjimatkan masa penunggangnya. Lebih dari itu, ianya sesuai digunakan untuk berulang-alik dari satu tempat ke tempat lain yang berada pada jarak jauh, serta sesuai digunakan sebagai motosikal rider penghantar makanan.
Suzuki Smash Fi Next Edition dikuasakan enjin 112.8cc dengan sistem suntikan bahan api elektronik, yang digandingkan dengan kotak gear empat kelajuan. Turut melengkapi model kapcai berkenaan ialah sistem kunci yang lebih selamat (2-layer safety key) dan ruang simpanan barangan peribadi yang luas dan praktikal di bawah tempat duduknya.
Memandangkan Suzuki Malaysia pada ketika ini telah mula menawarkan model-model baharu dengan enjin di bawah 250cc, sangat menarik jika Suzuki Smash Fi Next Edition ini akan turut dilancarkan di pasaran Malaysia pada masa akan datang. Melihat kepada penampilannya dan tahap ekonomi yang cemerlang, ianya pasti mendapat sambutan.