Yamaha melancarkan YZF-R15M World GP 60th Anniversary Edition 2022 untuk pasaran India, harga RM 10,448.43

Pada tarikh 11hb. April 2022, India Yamaha Motor (IYM) Pvt Ltd. dengan rasminya telah melancarkan model Yamaha YZF-R15M World GP 60th Anniversary Edition 2022 untuk pasaran India. Model tersebut merupakan pilihan terbaharu selepas varian Standard, M dan MotoGP Edition, yang dilancarkan pada bulan September 2021 yang lepas. Harga jualan yang ditawarkan ialah sebanyak Rs. 1,88,300, bersamaan nilai RM 10,448.43.

Yamaha YZF-R15M World GP 60th Anniversary Edition mempunyai spesifikasi teknikal yang sama seperti mana varian M, kecuali perbezaan warna dan grafik sahaja. Enjinnya bersesaran 155cc VVA (liquid cooled, 4-stroke, SOHC, 4-valve) dengan transmisi enam kelajuan dan Assist & Slippper Clutch, seterusnya menghasilkan 18.4PS @ 10,000rpm dan tork 14.2Nm @ 7,500rpm. Kapasiti maksimum tangki bahan apinya ialah 11 liter.

Ciri-ciri premium yang melengkapi YZF-R15M World GP 60th Anniversary Edition 2022 adalah seperti Quick-Shifter, Traction Control System, fork depan terbalik dengan warna keemasan, sambungan Bluetooth ke aplikasi Yamaha Motorcycle Connect, panel meter digital LCD inspirasi daripada YZF-R1 dengan Gear shift indicator, Track & Street Mode, lampu depan dan belakang LED, dan termasuklah sistem brek ABS Dual Channel.

Sementara itu untuk pasaran Malaysia, Yamaha YZF-R15 Version 4.0 2022 ini dijangka akan dilancarkan tidak lama lagi. Setakat ini pihak Hong Leong Yamaha Motor didapati telah menguji model berkenaan di jalan raya, berdasarkan paparan imej spyshot model berkenaan yang berjaya dirakamkan. Anda boleh lihat imej-imej spyshot model ujian itu melalui pautan di sini, dan berapakah agaknya harga yang akan ditawarkan nanti?