Sebuah model skuter terbaharu dalam segmen adventure iaitu MH Motorhispania VR10 2022 baru saja dilancarkan di pasaran Sepanyol. Jika anda merasa pernah melihatnya, ini adakah kerana model tersebut juga dikatakan bakal dilancarkan di pasaran Malaysia tidak lama lagi, dan ianya dijangka akan dikenali dengan nama Aveta ADV150 2022.
Bagaimanapun untuk pasaran Sepanyol, MH Motorhispania VR10 ini hanya ditawarkan dalam versi 125cc (liquid cooled, SOHC, 4 valves, BOSCH fuel injection) sahaja. Enjin tersebut menghasilkan kuasa maksimum 14.5hp @ 8,500rpm, dengan tork maksimum 12.5Nm @ 6,500rpm. Tangki bahan apinya pula hadir dengan kapasiti penuh 9.3 liter.
Spesifikasi dan ciri-ciri menarik yang melengkapi MH Motorhispania VR10 ialah seperti fork depan teleskopik, penyerap hentak belakang berkembar, sistem brek cakera depan dan belakang dengan ABS Dual Channel daripada Bosch, meter digital LCD bersaiz 7.0 inci, sistem lampu LED, keyless dan ruang barangan yang luas di bawah tempat duduk.
MH Motorhispania VR10 seterusnya menggunakan tayar depan dan belakang masing-masing dalam saiz 110/80-R14 dan 130/70-R13, ketinggian tempat duduk 775 mm, dan berat 155 kg. Harga jualan ditetapkan sebanyak 3,695 Euro, bersamaan RM 17,054.45, namun harga pengenalan awalnya ialah sebanyak 3,245 Euro (RM 14,977.46) sahaja.