Syarikat pengeluar motosikal Itali iaitu Moto Morini bakal melancarkan dua buah model motosikal terbaharu tidak lama lagi, dan akan dikenali dengan nama Seiemmezzo STR dan Seiemmezzo SCR. Kedua-dua model berkenaan berada dalam segmen naked dan scrambler, serta berkongsi enjin 649cc (2 in line cylinders, DOHC 8 valves) yang sama.
Enjin empat lejang dengan sistem BOSCH EFI dan penyejukan cecair itu menghasilkan kuasa maksimum 60hp @ 8,250rpm, dengan tork puncak 54Nm @ 7,000rpm. Kelajuan maksimum kedua-dua model berkenaan dikatakan mencapai 175 km/j, manakala tangki bahan apinya didatangkan dengan kapasiti 15 liter untuk perjalanan yang lebih jauh.
Spesifikasi standard yang ditawarkan oleh Seiemmezzo STR dan Seiemmezzo SCR ini antaranya ialah fork depan upside-down Kayaba 43 mm boleh laras, suspensi belakang monoshock Kayaba juga boleh dilaraskan, brek cakera depan berkembar, brek cakera belakang, ABS daripada BOSCH, dan roda depan dan belakang bersaiz 18 dan 17 inci.
Di pasaran Malaysia, Moto Morini merupakan sebuah jenama baharu yang akan muncul dengan model pertama Moto Morini X-Cape, dengan pelancaran rasminya dijadualkan berlangsung dalam suku kedua tahun ini. Jadi, adakah kemungkinan dua model baharu Seiemmezzo STR dan Seiemmezzo SCR ini akan turut dilancarkan di Malaysia nanti?
Galeri : 2022 Moto Morini Seiemmezzo STR
Galeri : 2022 Moto Morini Seiemmezzo SCR