HLYM akan perkenal model edisi World GP 60th Anniversary untuk pasaran Malaysia, pada tarikh 08hb. April 2022

Melalui laman Facebook rasmi, Hong Leong Yamaha Motor Sdn. Bhd. (HLYM) baru saja mengumumkan bahawa mereka akan memperkenalkan model edisi istimewa World GP 60th Anniversary untuk pasaran Malaysia, pada 08hb. April 2022 (Jumaat). Setakat ini belum dapat dipastikan model manakah yang akan menerima skim warna berkenaan.

Untuk makluman, skim warna World GP 60th Anniversary yang ikonik ini diperkenalkan sejak tahun lepas, untuk memperingati sambutan ulangtahun kali ke-60 Yamaha dalam perlumbaan MotoGP (1961 – 2021). Ciri-ciri skim warna itu ialah kemasan warna badan putih dengan corak grafik blok merah, emblem 60th Anniversary, jalur merah atas tangki bahan api dan ekor, fender depan berwarna merah, ruang plat nombor depan berwarna kuning, dan rim roda yang didatangkan dengan warna emas yang tampil begitu elegan.

Di pasaran luar negara, pelbagai model keluaran Yamaha telah menerima pilihan skim warna World GP 60th Anniversary, merangkumi model-model skuter, moped, sportbike, dan juga superbike. Untuk pasaran Malaysia nanti, model apakah agaknya yang bakal menerima sentuhan World GP 60th Anniversary itu? Sama-samalah kita nantikannya.