Modenas kini secara rasminya menjadi pengedar eksklusif Kawasaki di pasaran Malaysia, bermula 01hb. April 2022

Pengeluar motosikal nasional Modenas pada tarikh 01hb. April 2022 baru-baru ini telah mengumumkan bahawa pengedar rasminya EMOS (Edaran Modenas Sdn. Bhd.), telah sah menjadi pengedar eksklusif baharu untuk Kawasaki di pasaran Malaysia, berikutan tamatnya tempoh peralihan selama enam bulan bersama KMSB Motors Sdn. Bhd.

Tempoh peralihan itu berakhir pada tarikh 31hb. Mac 2022, di mana sepanjang tempoh berkenaan EMOS telah pun memerhati, mempelajari dan menyesuaikan sepenuhnya operasi perniagaan rakan kongsi teknikalnya iaitu Kawasaki Motors. Ltd. (KMC), untuk memastikan pemindahan pengetahuan sebanyak yang mungkin. KMC kini memiliki 30 peratus ekuiti di dalam Modenas bersama-sama DRB-Hicom sebagai pemegang saham majoriti di dalam syarikat pengeluar motosikal nasional itu.

“Pemilik motosikal Kawasaki tidak perlu bimbang kerana di bawah pengurusan baharu, tahap unggul produk dan perkhidmatan pelanggan akan dikekalkan. Rancangan kami termasuk juga untuk memperluaskan operasi, membangun, mengeluar dan menjual motosikal Kawasaki untuk peminatnya yang pasti akan memberikan gaya hidup mendebarkan bagi rakyat Malaysia. Selain itu, Modenas turut akan memperkenalkan model terbaharu Kawasaki dan melancarkan bilik pameran eksklusif Kawasaki yang baharu secara berperingkat. Oleh itu, nantikan pengumuman dari kami mengenai detik-detik menarik ini”, kata Roslan Roskan, Ketua Pegawai Eksekutif Modenas.

Dengan ekuiti yang lebih besar di dalam Modenas, Kawasaki kini akan mengambil bahagian secara aktif dalam operasi di Modenas, dan bukan hanya sebagai pemegang saham. Dengan berakhirnya tempoh peralihan, Modenas akan mula memasang model-model Kawasaki yang terpilih, dan pada masa yang sama mengimport barisan model-model dengan enjin yang lebih besar untuk memenuhi pasaran yang lebih luas.

“Bersama-sama ahli berpengalaman kami dari KMC, kami dengan sukacitanya mengalu-alukan kehadiran Yusaku Kashiwagi, Ketua Pegawai Pemasaran Modenas yang baru dilantik secara rasminya. Kami semua bersungguh-sungguh dalam menghidupkan semula jenama Kawasaki di Malaysia, di mana ia mempunyai lebih daripada 30 tahun sejarah,” tambah Roslan.

Imbas kembali, Modenas dan Kawasaki sememangnya telah mempunyai sejarah yang panjang di antara kedua-dua syarikat itu. Ianya bermula semenjak koloborasi pertama mereka dalam menghasilkan model ikonik Modenas Kriss generasi pertama pada tahun 1996. Bertitik tolak dari situ, Modenas terus mengumpul pengikut setia dari seluruh negara mahupun di pasaran antarabangsa.

“Sejak sedekad lalu, kehidupan Malaysia telah berubah secara mendadak di mana, permintaan yang lebih tinggi bukan sahaja untuk keperluan harian, tetapi juga produk yang memberi keseronokan kepada kehidupan mereka. Bersama Modenas, kami yakin produk Kawasaki yang akan dibangunkan dan diedarkan dapat memberikan pelanggan kami di Malaysia pengalaman menunggang yang hebat yang tidak pernah mereka alami sebelum ini. Ia sentiasa menjadi misi terbesar kami untuk memenuhi kepuasan pelanggan kerana setiap produk kami mewakili intipati jenama Kawasaki. Jangan hilangkan semangat Kawasaki dan “Let The Good Times Roll”.”, kata Yusaku Kashiwagi, Ketua Pegawai Pemasaran, Modenas.

Sebagai pengedar eksklusif, EMOS melalui pengedarnya bukan sahaja akan menjual motosikal Kawasaki, tetapi juga akan mengedarkan alat ganti dan aksesori di Malaysia. Selain itu, EMOS juga akan menyediakan perkhidmatan pelanggan yang meliputi semua perkara teknikal dan isu panggil semula atau “recall”. Seterusnya bagi semua jualan motosikal Kawasaki, alat ganti dan pertanyaan perkhidmatan berkaitan teknikal, boleh dirujuk kepada pengedar sah Kawasaki terpilih seperti dalam senarai di bawah.