Honda Forza 125 2022 terima pilihan dua warna baharu di pasaran Eropah

Honda Forza 125 2022 di pasaran Eropah baru-baru ini hadir dengan pilihan dua warna baharu, Mat Pearl Pacific Blue dan Pearl Falcon Grey, di samping masih lagi ditawarkan dengan tiga pilihan warna bagi model tahun 2021 iaitu Pearl Nightstar Black, Mat Cynos Grey Metallic dan Mat Carnelian Red Metallic. Spesifikasi teknikal kekal tidak berubah.

Honda Forza 125 2022 dilengkapi enjin 125cc (4-stroke, 4-valve, liquid-cooled, PGM-FI) dan transmisi automatik V-Matic. Jumlah kuasa yang dihasilkan enjin tersebut mencapai 14.75hp (11.0kW) @ 8,750rpm dengan tork 12.2Nm @ 6,500rpm. Enjin bertaraf Euro 5 itu turut dilengkapi dengan teknologi canggih HSTC (Honda Selectable Torque Control).

Pelbagai ciri-ciri menarik yang melengkapi model skuter berkenaan termasuklah Smart Key, sistem lampu LED, ruang luas di bawah tempat duduk yang boleh memuatkan dua buah helmet bermuka penuh, skrin penghadang angin kawalan elektrik, soket pengecas USB jenis Type-C, serta brek cakera depan 256mm dan belakang 240mm dengan ABS.

Di bahagian casis, Honda Forza 125 2022 masih kekal sama seperti tahun sebelumnya, termasuk dilengkapi fork depan teleskopik 33 mm dengan gandingan penyerap kejutan belakang berkembar (twin rear shock absorbers). Dengan berat keseluruhan hanya 161 kg, model itu mudah dikendalikan pada kelajuan perlahan atau ketika ianya diparking.

Menurut Honda, salah satu tujuan asal Honda Forza 125 ialah untuk menawarkan tahap penjimatan bahan api dan mengurangkan kekerapan ke stesen minyak untuk pengguna biasa. Dengan tangki petrol yang berkapasiti 11.5 liter, jarak perjalanan hampir 500 km boleh dicapai berdasarkan tahap kecekapan ekonomi sekitar 42.7 km/l (WMTC mode).