Selepas pasaran India, Indonesia dan Filipina, model sport bike Yamaha YZF-R15 2022 serba baharu kini rasmi dilancarkan di pasaran Thailand. Untuk pasaran Thailand, ianya tampil dalam tiga pilihan varian iaitu Yamaha YZF-R15 Connected, Yamaha YZF-R15M Connected-ABS dan Yamaha YZF-R15M Connected-ABS WGP 60th Anniversary.
Yamaha YZF-R15 Connected merupakan varian Standard, dan didatangkan dalam dua pilihan warna. Bagi varian YZF-R15M pula, ianya merupakan varian Premium, dengan dua pilihan warna termasuk skim warna istimewa WGP 60th Anniversary. Tiga varian itu kesemuanya dikuasakan enjin 155.09cc (liquid cooled, 4-stroke, SOHC, 4 valves, VVA).
Enjin dengan transmisi enam kelajuan dan Assist & Slipper Clutch itu menjana prestasi maksimum 19hp @ 10,000rpm dan tork puncak 14.7Nm @ 8,500rpm. Tangki bahan api yang tersedia mempunyai kapasiti penuh 11 liter, manakala berat keseluruhan untuk siri YZF-R15 itu ialah 137 kg untuk varian YZF-R15 dan 140 kg untuk varian YZF-R15M.
Beralih ke bahagian reka bentuk dan penampilannya, Yamaha YZF-R15 dan juga varian Yamaha YZF-R15M, kini tampil dengan gaya rekaan serba baharu mirip model Yamaha YZF-R1 yang lebih aerodinamik. Lebih dari itu, jentera sport serba baharu itu dilengkapi lampu depan LED tunggal yang diapit oleh sepasang lampu posisi LED yang agresif.
Bagaimanapun terdapat beberapa perbezaan spesifikasi di antara ketiga-tiga varian itu, di mana untuk varian YZF-R15M dan YZF-R15M WGP 60th, kedua-duanya didatangkan Quick Shifter, Traction Control System (TCS), ABS Dual Channel, YZR-M1 Styled Triple Clamp, YZR-R1 Styled Full Digital Speedometer, Big Bike Engine Switch Off, dan juga tempat duduk yang tampil dengan motif karbon yang istimewa (Carbon Image Seat).
Ciri-ciri standard lain yang melengkapi YZF-R15 dan YZF-R15M termasuklah teknologi Yamaha Y-Connect, lampu depan dan belakang LED, fork depan jenis terbalik, suspensi belakang monoshock dengan lengan ayun aluminium, hazard lamp, tinggi tempat duduk 815 mm, dan tayar tanpa tiub dalam siri 100/80-17 (depan) dan 140/70-17 (belakang).
Untuk pasaran Thailand, Yamaha YZF-R15 Connected 2022 ditawarkan dengan harga THB 115,000 (RM 14,485.25), Yamaha YZF-R15M Connected-ABS berharga sebanyak THB 135,000 (RM 17,004.42), dan bagi Yamaha YZF-R15M Connected-ABS WGP 60th Anniversary, ianya boleh dimiliki dengan harga sebanyak THB 137,000 (RM 17,256.34).