Skuter adventure Longjia XDV 250Si 2022 rasmi dilancarkan di pasaran China, harga jualan bermula dari RM 15,238.34

Longjia hari ini secara rasminya melancarkan sebuah model skuter adventure terbaharu untuk pasaran China, dikenali sebagai Longjia XDV 250Si 2022. Model itu didatangkan dengan pilihan dua varian iaitu rim lidi dan rim aloi, dan harga jualan yang ditawarkan masing-masing ialah CNY 22,980 (RM 15,238.34) dan CNY 24,980 (RM 16,564.56).

Longjia XDV 250Si ini dikuasakan enjin NEXUS 250S yang dibekalkan oleh Zongshen, bersesaran 244.3cc (single-cylinder, liquid-cooled, four-valves, SOHC) dan dipadankan dengan transmisi automatik CVT. Jumlah kuasa maksimumnya ialah 24.13 @ 8,750rpm dengan tork setinggi 22.5Nm @ 6,750rpm. Dengan prestasi seperti itu dan mempunyai berat 168 kg (curb weight), ianya mampu mencatatkan kelajuan maksimum 130 km/j.

Spesifikasi teknikal lain yang melengkapi Longjia XDV 250Si juga sangat memuaskan, antaranya termasuklah fork depan upside-down dan suspensi belakang dengan subtank buatan KYB, sistem brek cakera depan dan belakang J. Juan, ABS dua saluran, sistem lampu LED sepenuhnya, panel meter TFT bersaiz 5.0 inci dengan teknologi sambungan telefon, port pengecas 12V, skrin boleh laras dan handlebar aloi aluminium yang ringan.

Model tersebut turut dibekalkan pelbagai pilihan aksesori, antaranya ialah kotak bagasi kiri, kanan dan atas. Untuk pasaran China, Longjia XDV 250Si 2022 ini tampil dengan empat pilihan warna yang menarik. Bagi anda yang mungkin meminati model skuter ini, nantikan pelancarannya di pasaran Malaysia, dengan nama WMoto Xtreme 250 2022.

Sumber : news.yiche.com & newmotor.com.cn