Gambaran awal model skuter terbaharu WMoto Xtreme 250 2022 dengan kelengkapan tiga kotak bagasi

WMoto Malaysia (MForce Bike Holdings Sdn. Bhd.) bakal melancarkan sebuah model skuter terbaharu tidak lama lagi, yang akan dikenali dengan nama WMoto Xtreme 250. Setakat ini, reka bentuk dan penampilan model skuter bertaraf adventure itu telah pun terdedah, dan kini muncul pula gambaran awalnya dengan kelengkapan kotak bagasi.

Sebenarnya, paparan dua keping gambar yang disiarkan di dalam artikel ini merupakan model terbaharu Longjia XDV250i 2022, khusus untuk pasaran di negara China. Model inilah yang akan ditawarkan sebagai model WMoto Xtreme 250 di pasaran negara kita, dan kini kita dapat melihat bagaimanakah penampilannya dengan tiga kotak bagasi.

Apa yang boleh dikatakan, kelengkapan tiga kotak bagasi di kiri, kanan dan atas untuk model skuter tersebut sangat sesuai, dan bakal menjadikannya sebuah model kembara idaman ramai. Spesifikasi lain ialah ianya akan turut dilengkapi enjin bersesaran 244cc, transmisi automatik CVT, dan tangki bahan api 13.5 liter untuk perjalanan lebih jauh.

Ciri-ciri lain termasuklah brek cakera dengan ABS dua saluran, lampu LED, panel meter digital, dan juga windshield boleh dilaraskan. Untuk pasaran China, Longjia XDV250i ini ditawarkan dalam dua varian, iaitu dengan rim aloi dan juga rim jenis lidi. Untuk pasaran Malaysia, belum dapat dipastikan varian mana satukah yang bakal ditawarkan nanti.

Sumber gambar : newmotor.com.cn