Suzuki Raider J Crossover 2022 dilancarkan di pasaran Thailand, kapcai motocross yang tahan lasak

Di pasaran Thailand, Suzuki baru-baru ini melancarkan model terbaharu Suzuki Raider J Crossover 2022, dalam tiga pilihan warna yang menarik. Bagaimanapun harga jualan tidak pula diumumkan, namun di pasaran Filipina, model tersebut dijual dengan harga sebanyak PHP 63,900.00, iaitu bersamaan RM 5,177.39 mengikut nilai kadar semasa.

Suzuki Raider J Crossover merupakan sebuah model kapcai bergaya motocross, yang sangat sesuai digunakan untuk pelbagai aktiviti lasak. Di pasaran negara kita Malaysia sebelum ini, terdapat model-model kacpai seperti Modenas Kriss yang telah diubahsuai menjadi model motocross dan scrambler, khusus untuk kegunaan di kawasan ladang.

Suzuki Raider J Crossover untuk pasaran Thailand ini dilengkapi enjin yang bersesaran 112.8cc (4-stroke, Single Overhead Camshaft, air cooled), dengan gandingan transmisi empat kelajuan jenis rotary. Sistem penghidup enjin model tersebut ialah tendang dan juga elektrik, manakala tangki bahan apinya hadir dengan kapasiti maksimum 4.0 liter.

Spesifikasi lain adalah seperti brek cakera depan dan brek dram belakang, fork depan teleskopik dengan penutup, suspensi belakang berkembar, rim lidi dengan tayar depan 70/90-R17 dan tayar belakang 80/90-R17, tinggi tempat duduk 775 mm, jarak kelegaan bumi 156 mm, seterusnya mudguard depan dan handlebar pada posisi yang tinggi.

Dengan kembalinya Suzuki ke pasaran Malaysia melalui model-model di bawah 250cc, sangat menarik jika model kapcai motocross Suzuki Raider J Crossover ini turut sama dilancarkan di pasaran Malaysia. Namun oleh kerana nilai pasaran untuk model ini tidak sebesar mana, mungkin lebih baik ianya dilancarkan dalam versi yang terhad sahaja.