Pasaran Thailand baru-baru ini telah menerima pelancaran skuter Yamaha XMAX 300 SP 2022 terbaharu, yang dilengkapi sistem suspensi belakang OHLINS, tempat duduk eksklusif Tech Max, panel meter pelbagai fungsi dengan paparan LCD negatif, dan juga emblem XMAX SP yang tampil menyerlah. Yamaha XMAX 300 versi SP ini merupakan pilihan terkini untuk pasaran Thailand, di samping Yamaha XMAX 300 versi Standard.
Harga jualan yang ditawarkan untuk Yamaha XMAX 300 SP 2022 itu adalah sebanyak THB 209,000, bersamaan RM 26,106.04 mengikut kadar semasa. Spesifikasi yang lain adalah sama dengan model Standard, antaranya dilengkapi enjin 292cc, brek ABS Dual Channel, Traction Control System (TCS), Smart Key System, port pengecas 12V, serta ruang yang luas di bawah tempat duduk yang boleh dimuatkan dua buah topi keledar.
Untuk pasaran Malaysia, belum dapat dipastikan sama ada Yamaha XMAX 250 akan turut ditawarkan dalam versi SP oleh HLYM, seperti mana model di pasaran Thailand.