Honda MSX125 Grom 2022 kini tampil dengan pilihan warna baharu Pearl Queen Bee Yellow di pasaran Eropah

Dalam bulan November 2021 yang lepas, Honda Motor Europe telah memperkenalkan model kompak Honda MSX125 Grom 2022 untuk pasaran Eropah. Masih mengekalkan spesifikasi teknikal yang sama seperti mana model tahun sebelumnya, ianya kini tampil dengan pilihan warna terbaharu yang cukup menarik iaitu Pearl Queen Bee Yellow.

Sementara itu, dua pilihan warna terdahulu Mat Gunpowder Black Metallic dan Gayety Red terus dikekalkan untuk musim 2022. Honda MSX125 Grom dikuasakan enjin 125cc (2-valve, air-cooled, single cylinder) dengan teknologi PGM-FI, dan menghasilkan kuasa maksimum 9.65hp @ 7,250rpm dengan keluaran tork maksimum 10.5Nm @ 5,500rpm.

Spesifikasi dan ciri-ciri yang melengkapi Honda MSX125 Grom antaranya termasuklah kotak gear lima kelajuan dengan klac tangan manual, tangki bahan api 6.0 liter, paparan panel meter digital LCD, fork depan upside-down, suspensi belakang monoshock, brek cakera depan dan belakang, ABS single-channel, dan lampu depan dan belakang LED.

Honda MSX125 Grom 2022 ini berdiri di atas tayar depan 120/70-12 dan tayar belakang 130/70-12, yang menyumbang kepada ketinggian tempat duduk 761 mm. Jumlah berat keseluruhannya ialah 103 kg. Untuk pasaran Malaysia, Boon Siew Honda melancarkan Honda MSX125 pada tahun 2016, namun model berkenaan kini tidak lagi ditawarkan.