Yamaha MT-03 2022 di pasaran Taiwan terima perubahan terkini sistem ekzos dan under cowl enjin

Pasaran Taiwan baru-baru ini telah menerima kehadiran model sport bike Yamaha YZF-R3 2022 versi ‘minor change’ terbaharu, melibatkan kemaskini sistem ekzos dan lampu signal yang kini telah LED dan bersaiz lebih kecil. Di samping itu, model naked Yamaha MT-03 2022 turut tampil dengan dua perubahan terkini untuk pasaran negara tersebut.

Sama seperti YZF-R3, MT-03 2022 untuk pasaran Taiwan kini dilengkapi muffler ekzos baharu yang telah direka lebih panjang dan kini menjadikannya kelihatan lebih langsing, termasuk menerima cover tambahan di bahagian atas dan sisinya. Selain itu konfigurasi paip ekzos dari enjin juga telah berubah jika dibandingkan dengan model sebelumnya.

Perubahan kedua ialah under cowl enjinnya juga kini telah direka semula lebih kompak. Yamaha MT-03 2022 itu seterusnya kekal dikuasakan enjin bersesaran 321cc (4-valves, 4-stroke, liquid-cooled, DOHC) dengan sistem transmisi enam kelajuan. Keluaran kuasa enjinnya mencapai 41PS @ 10,750rpm, dengan tork maksimum 29.5Nm @ 9,000rpm.

Tiga pilihan warna terbaharu yang ditawarkan ialah Cyan Storm, Icon Blue dan Midnight Black. Untuk pasaran Taiwan, harga jualan yang ditetapkan untuk model naked tersebut ialah TWD 265,000, bersamaan nilai RM 39,187.64 (kadar semasa). Selepas ini, sama-samalah kita tunggu dua perubahan terkini yang serupa untuk model Yamaha MT-25.