Honda CG125 Special 2022 di pasaran China, harga jualan bersamaan RM 4,941.34

Untuk pasaran China, Wuyang-Honda Motorcycle pada bulan Februari yang lepas telah melancarkan model retro Honda CG125 Special 2022. Model berkenaan hanya tersedia dengan skim warna tunggal biru dan putih sahaja, dengan harga jualan yang ditawarkan sebanyak CNY 7,480.00, bersamaan RM 4,941.34 sahaja mengikut kadar semasa.

Honda CG125 Special dilengkapi enjin empat lejang bersesaran 125cc (single cylinder, air cooled) dengan sistem suntikan bahan api yang cekap. Enjin tersebut menghasilkan kuasa maksimum 9.78hp @ 8,000rpm, dengan tork maksimumnya 9.5Nm @ 6,500rpm. Kelajuan maksimum (top speed) motosikal retro itu dikatakan mencapai angka 93 km/j.

Untuk perjalanan lebih jauh, Honda CG125 Special dilengkapi tangki bahan api dengan kapasiti penuh 8.2 liter. Model yang mempunyai berat hanya 110 kg itu seterusnya turut dilengkapi tempat duduk bergaya vintage, tangki bahan api retro yang unik, panel meter mekanikal retro sepenuhnya, dan juga fork depan dengan cover yang bergaya klasik.

Selain itu, Honda CG125 Special turut tampil dengan sistem brek depan dan belakang jenis dram, dalam skim warna hitam, begitu juga dengan rim lidi dan sistem ekzos yang turut diwarnakan hitam. Untuk peminat tegar model motosikal bergaya klasik dan retro, kehadiran Honda CG125 Special 2022 ini pastinya sesuatu yang sangat dialu-alukan.