Untuk pasaran Jepun, GPX Thailand melalui anak syarikat GPX Japan Co., Ltd. baru-baru ini telah melancarkan sebuah model kapcai iaitu GPX POPZ 110 2022. Selain itu, syarikat tersebut pada masa yang sama turut melancarkan sebuah lagi model terbaharu untuk pasaran Jepun, iaitu GPX Legend 250 Brighton 2022 yang tampil bergaya klasik.
GPX Legend 250 Brighton bagaimanapun hanya akan ditawarkan dalam jumlah terhad sebanyak 150 unit sahaja, dan boleh didapati dengan dua pilihan warna yang menawan dan elegan iaitu British Green dan Deep Blue. Harga jualan yang ditawarkan pula ialah sebanyak 542,300 Yen, bersamaan RM 19,161.19, mengikut kadar mata wang semasa.
GPX Legend 250 Brighton dikuasakan enjin bersesaran 234cc (2 cylinders, 4 strokes, 4 valves, SOHC, oil cooled), dengan kuasa maksimum 16hp @ 8,000rpm dan tork 15Nm @ 6,500rpm. Enjin dengan sistem suntikan bahan api GPX-Fi berjenama Delphi buatan Amerika itu kemudiannya telah digandingkan dengan sistem transmisi enam kelajuan.
Pelbagai ciri-ciri menarik pada model tersebut antaranya ialah fork depan upside-down, suspensi belakang daripada YSS dengan Sub Tank berwarna emas, sistem brek depan dengan cakera berkembar, brek belakang cakera, lampu hadapan LED dengan Daytime Running Light (DRL), lampu belakang LED dan juga paparan panel meter digital LCD.
GPX Legend 250 Brighton 2022 untuk pasaran Jepun ini seterusnya dilengkapi kapasiti tangki bahan api 14.5 liter, tayar depan dan belakang masing-masing dalam siri 110/90-R17 dan 130/90-R17, tinggi tempat duduk 790 mm, dan berat hanya 156 kg. Buat masa ini belum dapat dipastikan sama ada ianya akan turut dilancarkan di pasaran Malaysia.