Suzuki GSX-R125 2022 dan Suzuki GSX-S125 2022 terima pilihan warna dan perubahan baharu di pasaran Jepun

Suzuki hari ini memperkenalkan dua model keluarannya untuk pasaran domestik Jepun iaitu Suzuki GSX-R125 2022 dan Suzuki GSX-S125 2022. Kedua-dua model kini tampil dengan pilihan warna terbaharu, selain perubahan kecil di bawah enjin yang melibatkan fairing, cowl dan penutup ekzos yang kini direka semula agar ianya tampil lebih sporty.

Pada masa yang sama, Suzuki GSX-R125 2022 dan Suzuki GSX-S125 2022 kini telah pun patuh piawaian emisi yang terkini khusus untuk pasaran Jepun, menjadikan kedua-dua model itu kini lebih mesra alam. Kedua-dua model tersebut dikuasakan enjin dalam sesaran 124cc (liquid-cooled, DOHC, 4-valve) dengan sistem transmisi enam kelajuan.

Jumlah kuasa yang dihasilkan oleh enjin itu mencapai 15PS @ 10,500rpm dengan tork maksimum 11Nm @ 8,500rpm. Ciri-ciri standard lain yang melengkapi kedua-dua model itu ialah sistem lampu LED, meter digital dengan RPM shift light dan posisi gear, Suzuki Easy Start System, sistem ABS dual-channel dan tangki bahan api maksimum 11 liter.

Di pasaran Malaysia, Suzuki baru-baru ini melancarkan dua model yang sama, dengan enjin 150cc yang lebih besar iaitu Suzuki GSX-R150 2022 dan Suzuki GSX-S150 2022. Bagi versi 125cc, ianya hanya khusus untuk pasaran Jepun dan pasaran Eropah sahaja dan tidak akan ditawarkan di mana-mana pasaran Asia Tenggara termasuk Malaysia.