Model skuter Lexmoto Aura 300 2022 di pasaran UK, adakah pasaran Malaysia bakal menyusul dengan enjin 250cc?

Syarikat pengeluar motosikal dan skuter tempatan iaitu WMoto Malaysia dijangka bakal melancarkan sebuah model skuter terbaharu pada hujung bulan Mac 2022 ini. Ketika ini melalui laman Facebook MForce TV, syarikat tersebut telah menyiarkan dua buah video teaser mengenai model skuter itu, yang menunjukkan lampu depan dan belakangnya.

Seterusnya, model skuter terbaharu itu mungkin akan dikenali sebagai WMoto ES 250i, berdasarkan pendaftaran nama berkenaan di Perbadanan Harta Intelek Malaysia, yang bertarikh 10hb. Februari 2022. Dari segi reka bentuk, gaya dan penampilan pula, ianya mungkin sama dengan model Lexmoto Aura 300 2022 yang ditawarkan di pasaran UK.

Lexmoto Aura 300 berasal daripada model Longjia Easymax 300i, dan dikuasakan enjin bersesaran 278cc (4 stroke, single cylinder, water cooled, EFI, Euro 5) dengan padanan transmisi automatik. Enjin tersebut menghasilkan kuasa maksimum 18.8hp @ 6500rpm. Kapasiti maksimum tangki bahan api model itu ialah 12 liter, dengan beratnya 147 kg.

Namun untuk pasaran Malaysia, model skuter terbaharu yang akan dilancarkan WMoto itu dijangka akan menggunakan enjin yang lebih kecil, dalam sesaran 250cc sahaja. Ini kerana model 250cc ke bawah lebih mesra pemegang lesen kelas B2, dan mempunyai pasaran yang lebih luas berbanding pemegang lesen kelas B Full (250cc dan ke atas).

Bagaimanapun untuk maklumat yang lebih tepat, kita semua perlu menunggu sehingga model skuter terbaharu keluaran WMoto Malaysia itu dilancarkan secara rasmi. Namun jika anda yakin bahawa ianya adalah sama seperti mana model Lexmoto Aura 300, dan mahu menjadi yang pertama memilikinya, mungkin boleh membuat tempahan awal.

Untuk makluman, skuter Lexmoto Aura 300 di pasaran UK ini ditawarkan dengan harga £ 3,899.99, bersamaan nilai RM 21,422.13. Antara ciri-ciri menarik yang melengkapinya termasuklah ‘heated grips’, sistem brek ABS, suspensi belakang hidraulik, serta sistem lampu LED sepenuhnya. Kelajuan maksimumnya mencapai 75 mph, atau 120 km/j.

Galeri : Lexmoto Aura 300 2022