Yamaha MX King 150 2022 terima kemaskini warna baharu di pasaran Indonesia

Di pasaran Malaysia, sebelum ini telah terdengar ura-ura bahawa pengeluaran model Yamaha Y15ZR akan dihentikan, bagi memberi laluan kepada model Yamaha 135LC Fi dan Yamaha Y16ZR. Namun di pasaran Indonesia, model yang sama iaitu Yamaha MX King 150 2022 baru saja diperkenalkan hari ini, dengan tiga pilihan warna terbaharu.

Ketiga-tiga pilihan skim warna terbaharu itu ialah Cyan, Red dan Blue, menjadikan gaya penampilan model tersebut kini semakin sporty dan menyerlah. Bagaimanapun aspek spesifikasi teknikalnya masih tidak berubah, termasuklah kekal dikuasakan enjin 150cc (liquid-cooled, 4-stroke SOHC, single cylinder) dengan padanan transmisi lima kelajuan.

Enjin itu menghasilkan kuasa maksimum 15.15hp @ 8,500rpm, dengan tork maksimum 13.8Nm @ 7,000rpm. Ciri-ciri lain yang melengkapinya termasuklah sistem penghidup jenis elektrik dan tendang, lampu depan LED, paparan meter digital sepenuhnya, lampu kecemasan, tangki bahan api 4.2 liter, tinggi tempat duduk 795 mm dan berat isi 118 kg.

Harga jualan yang ditawarkan adalah sebanyak Rp 24,960,000 (On The Road Jakarta), bersamaan RM 7,315.91. Selain itu turut ditawarkan ialah Yamaha MX King 150 World GP 60th Anniversary Edition, bagi memperingati sambutan ulangtahun buat kali ke-60 Yamaha sepanjang penyertaan mereka dalam perlumbaan MotoGP (1961 – 2021).