WMoto Malaysia (MForce Bike) baru-baru ini telah menyiarkan video teaser mengenai sebuah model skuter terbaharu yang bakal dilancarkan di pasaran Malaysia tidak lama lagi. Kini nama rasmi untuk model skuter tersebut berkemungkinan telah terdedah, dan ianya mungkin atau dijangkakan akan dikenali dengan nama WMoto ES 250i 2022.
Apa yang menariknya ialah melalui nama yang diberikan itu, besar kemungkinan model yang bakal dilancarkan itu akan dilengkapi enjin bersesaran 250cc. Jika benar, pastinya dunia skuter di pasaran Malaysia akan bertambah meriah selepas ini, dengan kehadiran sebuah model skuter maxi dengan enjin 250cc yang berkuasa dan mesra lesen B2.
Untuk rujukan, sumber nama WMoto ES 250i itu dapat dilihat melalui pendaftaran yang telah dilakukan di Perbadanan Harta Intelek Malaysia, bertarikh 10 Februari 2022, yang dapat dilihat dalam paparan imej di atas. Bagaimanapun buat masa ini WMoto Malaysia belum mengumumkan tarikh sebenar pelancaran rasmi untuk model skuter berkenaan.
Berdasarkan sumber maklumat sebelum ini, WMoto ES 250i 2022 mungkin model yang sama seperti di dalam paparan galeri di bawah, iaitu Keeway GT270 yang sebelum ini telah pun dilancarkan di pasaran Thailand pada Mac 2021. Cuma jumlah sesaran enjin yang melengkapi Keeway GT270 adalah lebih besar iaitu 278.2cc, bukannya 250cc.
Sumber : Vanhoe Rage FB
Galeri : Keeway GT270 di pasaran Thailand