Aprilia SR GT 200 2022 diperkenalkan, dikenali sebagai skuter “Urban Adventure” pertama dari Aprilia

Update : Moto Guzzi & Aprilia Penang kini membuka tempahan untuk model skuter terbaharu Aprilia SR GT 200, yang bakal dilancarkan di pasaran Malaysia tidak lama lagi. Namun setakat ini tarikh sebenar pelancarannya masih belum diumumkan, begitu juga dengan harga jualannya. Di pasaran Jepun, harganya bermula dari RM 20k. 

Aprilia baru-baru ini telah memperkenalkan sebuah model skuter terbaharu iaitu Aprilia SR GT 200, yang dikatakan sebagai model skuter “Urban Adventure” pertama keluaran syarikat itu. Dua pilihan varian ditawarkan, yang pertama ialah Standard dengan pilihan warna Street Grey, Infinity Blue dan Aprilia Black, sementara varian kedua Sport tampil dengan pilihan warna lebih sporty iaitu Street Gold, Red Raceway dan Iridium Grey.

Aprilia SR GT 200 dilengkapi enjin bersesaran 174cc (single-cylinder, 4-stroke i-get with Start & Stop system, single overhead camshaft, 4 valves, liquid-cooled) dan dipadankan dengan sistem transmisi automatik CVT (Continuously Variable Transmission). Enjin itu bertaraf Euro 5, dan menghasilkan kuasa maksimum 17.43hp @ 8,500rpm dengan tork maksimum 16.5Nm @ 7,000rpm. Kapasiti tangki bahan api yang tersedia ialah 9 liter.

Aprilia SR GT 200 dibangunkan di atas kerangka ‘double cradle, in high-resistance steel tubing’ yang kukuh, dan digandingkan dengan fork depan 33 mm daripada Showa yang menawarkan travel sehingga 122 mm. Penyerap hentak belakang pula jenis berkembar, juga daripada Showa, dengan ciri ‘five-position adjustable pre-load’ dan travel 102 mm. Berdasarkan konfigurasi tersebut, jarak kelegaan bumi minimumnya mencapai 175 mm.

Untuk aspek pemberhentian yang mantap, Aprilia SR GT 200 menggunakan brek depan dan belakang cakera dengan ABS single-channel. Di bahagian roda, ianya didatangkan tayar jenis ‘all-terrain’ dalam saiz 110/80-R14 (depan) dan 130/70-R13 (belakang), yang dikatakan sangat fleksibel dan sesuai untuk semua jenis permukaan jalan raya. Selain itu, skuter Aprilia SR GT 200 ini turut tampil dengan pelbagai ciri-ciri menarik yang lain.

Antaranya termasuklah sistem Start & Stop canggih yang diberi nama RISS (Regulator Inverter Start & Stop System), sistem lampu LED sepenuhnya, panel meter digital LCD, ruang seluas 25 liter yang boleh memuatkan topi keledar, port pengecas USB, dan juga sistem sambungan APRILIA MIA (aksesori pilihan). Model dengan berat 148 kg itu juga dikatakan mampu ditunggang sejauh 350 km, dengan hanya setangki penuh bahan api.

Melihat kepada reka bentuk, spesifikasi dan ciri-ciri yang ditawarkan oleh Aprilia SR GT 200 ini, tidak salah kalau dikatakan ianya telah menepati kriteria sebuah model skuter bertaraf adventure, yang bukan saja sesuai untuk kegunaan di kawasan bandar, malah juga sesuai untuk kegunaan di kawasan pendalaman. Selain pasaran Eropah, model itu turut dilancarkan di pasaran Jepun baru-baru ini, dengan harga bermula dari RM 20k.