Skuter terbaharu Modenas Karisma 125S 2022 dilancarkan di pasaran Malaysia, harga jualan asas RM5,397.00

Syarikat pengeluar motosikal nasional Modenas hari ini rasmi memperkenalkan model skuter terbaharu Modenas Karisma 125S 2022 untuk pasaran Malaysia. Model tersebut merupakan kesinambungan kepada model Karisma pertama yang diperkenalkan pada Ogos 2003, dan kemudiannya diikuti oleh model facelift yang dilancarkan pada 2016.

Modenas Karisma 125S terbaharu ini diperkenalkan dalam tiga pilihan warna iaitu Aqua Blue, Mystic Red dan Duchess Gold, yang tampil sporty, bergaya dan trendy, dan akan menjadi tarikan kepada mereka yang menggemari konsep ‘urban lifestyle’. Harga jualan asasnya pula ialah sebanyak RM 5,397.00 (tidak termasuk insuran dan cukai jalan), dan akan berada di wakil pengedar Modenas yang sah mulai tarikh 26hb. Februari 2022.

Modenas Karisma 125S dikuasakan enjin 125cc (empat lejang, silinder tunggal, SOHC, sejukan udara) dengan sistem transmisi automatik. Enjin dengan sistem suntikan bahan api dan bertaraf Euro 4 itu menjana kuasa maksimum 9.38hp @ 7,500rpm, dengan tork maksimum 10Nm @ 6,000rpm. Dengan gandingan kapasiti tangki bahan apinya seluas 5.1 liter, model skuter itu dikatakan mampu memberikan penjimatan ketika tunggangan.

Sebagai sebuah skuter moden yang menawarkan pelbagai kelebihan dan kemudahan. Modenas Karisma 125S dilengkapi lampu depan LED dengan lampu DRL LED, lampu isyarat depan dan belakang LED, lampu brek belakang LED, kombinasi paparan panel meter digital, suis pembuka tempat duduk, ruang penyimpanan 14 liter di bawah tempat duduk, lampu kecemasan, dan soket pengecas USB untuk mengecas telefon bimbit.

Modenas Karisma 125S ini seterusnya dilengkapi suspensi depan teleskopik, suspensi belakang tunggal, brek depan cakera, brek belakang gelendong, tinggi tempat duduk 760 mm, dan mempunyai berat bersih 108 kg. Untuk maklumat selanjutnya, anda boleh merujuk kepada brosur dan juga gambar-gambar menariknya dalam galeri di bawah.