Triumph Motorcycles Malaysia pada kelmarin rasmi melancarkan model baharu untuk pasaran Malaysia, Triumph Speed Triple 1200 RR 2022. Tampil dengan gaya klasik dan menggunakan half-fairing dan lampu depan yang berbentuk bulat, model tersebut hadir dalam dua pilihan warna iaitu Red Hopper / Storm Grey dan Crystal White / Storm Grey.
Triumph Speed Triple 1200 RR dikuasakan enjin bersesaran 1,160cc (liquid-cooled, 12 valve, DOHC, inline 3-cylinder), dengan hamburan kuasa maksimum setinggi 180PS @ 10,750rpm dan tork maksimum 125Nm @ 9,000 rpm. Enjin tersebut dipadankan sistem transmisi enam kelajuan, sistem assist & slipper clutch dan up and down quickshifter.
Untuk tahap pengendalian terbaik, Triumph Speed Triple 1200 RR menggunakan sistem suspensi elektronik Öhlins S-EC 2.0 OBTi yang canggih. Pada bahagian brek, model itu menggabungkan cakera depan berkembar 320 mm dengan kaliper monoblock Brembo Stylema, dan brek cakera belakang tunggal 220 mm dengan kaliper dua piston Brembo.
Triumph Speed Triple 1200 RR mempunyai kerangka yang ringan dan tangki bahan api 15.5 liter, yang menyumbang kepada berat basah hanya 199 kg. Saiz tayar pada model tersebut pula ialah 120/70-ZR17 (depan) dan 190/55-ZR17 (belakang), di mana kedua-dua tayar yang membalut rimnya ialah tayar terbaharu Pirelli Diablo Supercorsa SP V3.
Triumph Speed Triple 1200 RR seterusnya menawarkan ciri tunggangan ergonomik dan selesa, hasil daripada kelengkapan handlebar jenis clip-on, tempat pemijak pada posisi terbaik dan tempat duduk dengan ketinggian 830 mm yang mudah diakses. Di samping itu, keseimbangan pusat graviti motosikal juga dipastikan berada pada tahap optimum.
Pelbagai teknologi premium yang melengkapi Triumph Speed Triple 1200 RR antaranya seperti panel instrumen TFT 5.0 inci berwarna sepenuhnya, cornering ABS, switchable optimised cornering traction control (with IMU), lima mod tunggangan iaitu Road, Rain, Sport, Track dan Rider-configurable, advanced front wheel lift control dan cruise control.
Triumph Speed Triple 1200 RR turut dilengkapi sistem lampu LED, termasuklah rekaan lampu depan tunggal berbentuk bulat dengan ciri lampu DRL. Sebagai tambahan, ianya juga dilengkapi dengan sistem keyless. Untuk pasaran Malaysia, harga jualan asasnya ialah sebanyak RM 119,900.00, tidak termasuk pendaftaran, insuran dan cukai jalan.