Triumph Tiger Sport 660 2022 rasmi dilancarkan di pasaran Malaysia, harga jualan bermula dari RM 49,900.00

Triumph Motorcycles Malaysia hari ini rasmi melancarkan model terbaharu iaitu Triumph Tiger Sport 660 2022, dengan harga bermula dari RM 49,900.00. Menurut sumber dari Paultan.org, harga itu ialah untuk dua pilihan warna Lucerne Blue / Sapphire Black dan Graphite / Black, dan harga RM 50,900.00 pula untuk warna Korosi Red / Graphite.

Triumph Tiger Sport 660 merupakan sebuah model sports tourer, dikuasakan enjin triple 660cc (liquid-cooled, 12 valve, DOHC, inline 3-cylinder, 240° firing order) dengan kuasa maksimum 81PS @ 10,250rpm dan tork maksimum 64Nm @ 6,250 rpm. Enjin tersebut dipadankan transmisi 6-kelajuan, dengan bantuan oleh sistem Assist & Slipper Clutch.

Sistem suspensinya ialah fork depan Showa 41 mm USD, yang bergandingan dengan suspensi belakang Showa monoshock RSU (with remote hydraulic preload adjustment). Sistem breknya terdiri daripada cakera berkembar 310 mm dengan kaliper Nissin dua piston di bahagian depan, manakala di bahagian belakangnya ialah cakera tunggal 255 mm dengan kaliper Nissin satu piston, lengkap dengan sistem ABS dua saluran.

Spesifikasi standard premium lain yang melengkapi Triumph Tiger Sport 660 antaranya ialah ride-by-wire throttle, switchable traction control, two riding modes (Road and Rain), panel instrumen TFT pelbagai fungsi dengan ciri sambungan (connectivity system) ke aplikasi My Triumph (pilihan aksesori) dan sistem immobiliser untuk tahap keselamatan.

Untuk perjalanan lebih jauh, Triumph Tiger Sport 660 dilengkapi tangki bahan api 17.2 liter. Tempat duduk dengan ketinggian 835 mm dan skrin penghadang angin yang boleh dilaras dengan sebelah tangan ketika tunggangan pula menawarkan lebih keselesaan. Seterusnya sistem lampu LED sepenuhnya hadir dengan ciri self-cancelling indicators.

Triumph Tiger Sport 660 2022 berdiri di atas tayar depan dan belakang dengan ukuran masing-masing 120/70-ZR17 dan 180/55-ZR17, seterusnya dipasangkan tayar Michelin Road 5. Dengan berat keseluruhan hanya 206 kg (wet weight), tahap ekonomi bahan api model sports tourer berkenaan dikatakan mampu mencapai paras 4.5 liter / 100 km.