Suzuki GSX-R150 2022 akan dilancarkan di pasaran Malaysia dengan harga asas di bawah RM 12k

Suzuki Malaysia semakin rancak memanaskan suasana, menjelang pelancaran rasmi model sport bike yang dinanti-nantikan iaitu Suzuki GSX-R150 2022. Terkini, syarikat itu menyiarkan pula imej teaser seterusnya mengenai model berkenaan, kali ini menyentuh mengenai harga jualan asasnya yang dikatakan hanya sekitar RM 11,XXX.00 sahaja.

Adakah harga jualan asas yang akan ditetapkan itu berpatutan, kompetetif dan mampu memberikan saingan kepada seteru utamanya iaitu Yamaha YZF-R15 dan juga Honda CBR150R? Sebagai perbandingan, Yamaha YZF-R15 boleh dimiliki dengan harga asas RM 11,988.00, manakala Honda CBR150R dijual dengan harga asas RM 12,499.00.

Melihat kepada senarai harga tersebut, bolehlah dikatakan harga yang akan ditawarkan untuk Suzuki GSX-R150 2022 itu nanti adalah berpatutan dan kompetetif, dan pastinya mampu memberikan saingan kepada model Yamaha YZF-R15 dan Honda CBR150R. Tambahan pula prestasi dan kuasa enjin yang ditawarkan olehnya sangat memuaskan.

Untuk anda yang berminat untuk memiliki Suzuki GSX-R150 2022, atau mungkin mahu menempahnya, boleh kunjungi mana-mana cawangan pengedar Suzuki Malaysia yang berdekatan. Anda juga boleh mendaftarkan minat anda itu melalui borang pendaftaran secara online yang telah disediakan oleh Suzuki Malaysia, melalui pautan rasmi di sini.