Kelmarin, Suzuki Malaysia telah menyiarkan imej teaser mengenai kemunculan sebuah model terbaharu yang bertemakan “The Road Conqueror”. Dan hari ini pula, imej teaser kedua telah disiarkan di halaman Facebook rasmi mereka, secara tidak langsung ianya mendedahkan bahawa model yang bakal dilancarkan itu ialah Suzuki GSX-R150 2022.
Pada masa yang sama, Suzuki Malaysia kini telah membuka pendaftaran minat kepada model tersebut, dan pendaftaran itu boleh dilakukan di mana-mana wakil pengedar sah Suzuki Malaysia yang berdekatan. Jadi untuk setiap peminat motosikal tempatan, inilah masanya untuk anda mendaftar, dan mungkin menempah terus model yang sporty itu.
Melihat kepada aspek spesifikasinya, Suzuki GSX-R150 2022 yang bakal dilancarkan di pasaran Malaysia itu nanti akan dikuasakan enjin bersesaran 147.3cc dengan teknologi DOHC, 4-valve dan sistem transmisi enam kelajuan. Keluaran kuasa maksimum model berkenaan mencapai 19.17PS @ 10,500rpm, dengan tork puncak 14Nm @ 9,000rpm.
Selain mempunyai reka bentuk yang sporty dan agresif, Suzuki GSX-R150 turut hadir dengan pelbagai ciri-ciri menarik seperti tangki bahan api dengan kapasiti maksimum 11 liter, fork depan teleskopik, suspensi belakang monoshock, sistem brek cakera depan dan belakang, lampu depan LED, meter digital LCD dan sistem penghidup tanpa kunci.
Suzuki GSX-R150 juga dilengkapi teknologi penghidup enjin dengan hanya satu butang sentuhan sahaja, tempat duduk bergaya perlumbaan dengan ketinggian hanya 785 mm dan sistem ekzos yang sporty. Bagaimanapun untuk maklumat yang lebih tepat, sama-samalah kita tunggu pelancaran rasmi model sport bike full fairing itu tidak lama lagi.