Suzuki Belang R150 2022 kini dalam fasa pemasangan, imej barisan ‘tayar belakang’ jadi viral

Sejak beberapa bulan yang lepas selepas teaser pertama Suzuki Belang R150 muncul secara rasmi, para peminat model moped tersebut di pasaran Malaysia boleh dikatakan sudah tidak sabar-sabar menantikan pelancaran rasminya. Namun sehingga kini masih belum ada pengumuman daripada pihak Suzuki Malaysia mengenai pelancarannya.

Namun pada dua hari yang lepas, Pengerusi Eksekutif Kumpulan Suzuki Malaysia iaitu Ahmad Faez Yahaya melalui laman Facebooknya telah menyiarkan sekeping imej yang menunjukkan barisan tayar belakang model motosikal misteri. Setelah diteliti, tidak syak lagi ianya merupakan tayar belakang milik model moped Suzuki Belang R150 2022.

Ini bermakna imej berkenaan merupakan teaser terkini daripada pihak Suzuki Malaysia mengenai status model Suzuki Belang R150 untuk pasaran tempatan, yang kini sedang dalam fasa pemasangan di kilang mereka. Imej tersebut ketika ini telah menjadi viral di dalam laman sosial, dan mendapat reaksi positif daripada peminat motosikal tempatan.

Apa yang diharapkan ketika ini ialah pihak Suzuki Malaysia tidak menunggu terlalu lama untuk melancarkan model yang sangat dinanti-nantikan itu. Begitu juga dengan tawaran harga jualannya nanti yang diharapkan berada pada paras yang berpatutan, agar ianya mampu bersaing dengan model-model moped popular lain di pasaran pada ketika ini.

Sumber : Faez Yahaya FB