Model skuter Honda Vario 160 2022 serba baharu baru saja dilancarkan untuk pasaran Indonesia. Sayangnya untuk pasaran Malaysia, setakat ini Boon Siew Honda Sdn. Bhd. masih lagi belum memberikan sebarang petunjuk atau bayangan awal bilakah model itu bakal dilancarkan secara rasmi. Adakah akan mengambil masa yang terlalu lama?
Berdasarkan rekod sebelum ini, model skuter Honda ADV150 telah dilancarkan dengan rasminya di pasaran Indonesia sekitar pertengahan tahun 2019. Namun untuk pasaran Malaysia, model tersebut hanya dilancarkan pada bulan Februari 2021, bermakna ianya mengambil tempoh masa yang agak lama iaitu sehingga lebih satu tahun setengah.
Begitu juga dengan model moped Honda RS-X (Honda Winner X), yang mana sebelum itu telah dilancarkan di pasaran Vietnam pada bulan Julai 2019. Namun pasaran negara kita hanya menerima pelancarannya secara rasmi pada bulan November 2021, setelah penantian demi penantian, dalam tempoh yang lama sehingga dua tahun setengah.
Honda Vario 160 sememangnya pasti akan dilancarkan di pasaran tempatan oleh BSH, kerana ianya akan menggantikan generasi sebelumnya iaitu Honda Vario 150. Dengan mengambil kira angka jualan Vario 150 yang agak kurang memberangsangkan, peluang kini terbuka luas untuk BSH kembali bersaing melalui model serba baharu Vario 160.
Antara sebab-sebab kenapa Honda Vario 160 akan berjaya mencatatkan jualan terlaris di pasaran Malaysia nanti ialah kerana reka bentuknya yang sporty dan kelihatan lebih agresif, enjin serba baharu yang lebih berkuasa namun ekonomi, dilengkapi dengan ciri-ciri menarik dan berguna, serta harga jualannya yang dijangka pada paras berpatutan.
Paling penting ialah Honda Vario 160 kini tampil sebagai sebuah model dengan ciri-ciri dan keupayaan untuk diubahsuai ke tahap modifikasi yang lebih tinggi. Contohnya ialah seperti mana konsep modifikasi yang diperkenalkan oleh Julak Sendie Design, melalui tema Sport dan juga Touring, yang boleh disaksikan melalui galeri gambar di bawah.
Di pasaran Malaysia, resepi kejayaan jualan sesebuah model motosikal dan juga skuter adalah berdasarkan gaya rekaannya yang cantik dan sporty, dan kemampuannya untuk diubahsuai dengan pelbagai kelengkapan aksesori yang menarik dan sporty. Tidak syak lagi, Honda Vario 160 dalam versi Sport dan Touring seperti ini bakal diminati ramai.