Suzuki di pasaran Filipina hari ini mengumumkan ketibaan model moped Suzuki Raider R150 FI untuk musim 2022, yang kini tampil dengan pilihan empat warna baharu yang lebih sporty dan segar. Kempat-empat pilihan skim warna baharu itu ialah Metallic Matte Stellar Blue, Candy Matte Bordeaux Red, Titan Black dan juga Pearl Bright Ivory.
Untuk pasaran Filipina, Suzuki Raider R150 FI 2022 mempunyai tanda harga sebanyak Php. 109,900.00, bersamaan RM 9,009.70 mengikut kadar tukaran mata wang semasa. Di bahagian teknikal, model moped berprestasi tinggi itu masih kekal dengan spesifikasi seperti mana model tahun sebelumnya, antaranya dilengkapi enjin bersesaran 147.3cc.
Berdasarkan maklumat di dalam laman sesawang Suzuki Filipina, Suzuki Raider R150 FI mampu menghamburkan kuasa maksimum sehingga 18.23hp @ 10,000rpm, dengan tork maksimum mencecah 13.8Nm @ 8,500rpm. Enjin DOHC 4-valve dengan transmisi enam kelajuan itu dikatakan mampu melakukan pecutan maksimum yang cukup tinggi.
Untuk pasaran Malaysia, Suzuki Belang R150 2022 sebelum ini telah diumumkan akan dilancarkan pada awal tahun ini, namun tarikh sebenar pelancarannya belum diketahui. Diharapkan Suzuki Belang R150 2022 untuk pasaran Malaysia itu nanti memiliki tanda harga yang berpatutan, agar ianya mampu bersaing dengan model-model moped lain.