Suzuki GSX-S1000 2022 kini dilancarkan di pasaran Malaysia, harga asas RM 76,900.00

Suzuki Malaysia mengorak langkah dengan bergaya pada tahun ini, apabila syarikat itu kini rasmi melancarkan model naked terbaharu Suzuki GSX-S1000 2022 untuk pasaran tempatan. Tersedia dalam satu pilihan warna tunggal Metallic Triton Blue, ianya diimport sebagai model CBU sepenuhnya dari Jepun, dan bukannya di pasang di Malaysia.

Untuk pasaran tempatan, Suzuki GSX-S1000 2022 ini ditawarkan dengan harga jualan sebanyak RM 76,900.00 (tidak termasuk pendaftaran, insuran dan cukai jalan). Dengan pelancarannya, model tersebut kini merupakan tawaran terbaharu di samping beberapa model lain yang dilancarkan pada tahun lepas, iaitu seperti GSX-R1000, Katana, GSX-S750, V-Strom 650XT, SV650, Hayabusa dan termasuklah model V-Strom 1050XT.

Selanjutnya, kita imbas kembali spesifikasi Suzuki GSX-S1000. Ianya dikuasakan enjin bersesaran 999cc (4-stroke, 4-cylinder, liquid-cooled, DOHC) yang kini patuh piawaian emisi Euro 5, dan menghamburkan kuasa maksimum 152PS @ 11,000rpm dengan tork maksimum 106Nm @ 9,250rpm. Enjin itu dipadankan dengan transmisi enam kelajuan.

Bagi meningkatkan lagi tahap prestasi dan pengendaliannya, teknologi Suzuki Clutch Assist System (SCAS) telah digandingkan dengan sistem quickshifter dan auto-blipper. Selain itu ialah rangkaian elektronik Suzuki Intelligent Ride System (SIRS), Suzuki Drive Mode Selector (SDMS) dan traction control dengan lima mod dan ciri boleh dimatikan.

Melengkapkan lagi pakej elektronik tersebut ialah Suzuki Easy Start System dan Low RPM Assist. Di bahagian casis, ianya digandingkan dengan lengan ayun daripada GSX-R untuk prestasi dan pengendalian lebih sporty, di samping handlebar yang kini 23 mm lebih lebar dan 20 mm lebih dekat dengan penunggang untuk keselesaan lebih baik.

Sistem suspensi terdiri daripada fork depan upside-down KYB yang boleh dilaraskan sepenuhnya, sementara suspensi belakang juga boleh dilaraskan (preload and rebound damping adjustable rear shock). Brek cakera depan berkembar 310 mm kemudiannya dipadankan dengan kaliper monobloc Brembo untuk tahap keselamatan yang tertinggi.

Tayar depan dan belakang masing-masing bersaiz 120/70ZR17 dan 190/50ZR17, dan menyumbang kepada ketinggian pelana 810 mm. Suzuki GSX-S1000 2021 seterusnya dilengkapi sistem lampu LED sepenuhnya, termasuk paparan panel meter LCD baharu dengan pelbagai maklumat. Berat keseluruhan jentera itu hanya 214 kg (kerb mass).