Honda CBR650R 2022 di pasaran Eropah terima kemaskini baharu jalur grafik

Model sportbike Honda CBR650R 2021 di pasaran Eropah sebelum ini telah menerima beberapa naik taraf terbaharu, dan model tersebut kemudiannya telah pun dilancarkan di pasaran Malaysia pada bulan Februari 2021 yang lepas. Harga jualan asasnya ialah sebanyak RM 45,499.00 (tidak termasuk kos pendaftaran, insuran dan cukai jalan).

Kini untuk pasaran Eropah, Honda CBR650R 2022 telah diperkenalkan pada November 2021 yang lalu, dengan spesifikasi yang sama seperti model sebelumnya. Namun untuk penampilan yang lebih segar, dua pilihan warna pada model berkenaan Grand Prix Red dan Mat Gunpowder Black Metallic, kini telah menerima kemaskini jalur grafik baharu.

Bagi model berwarna Grand Prix Red, pilihan warna bagi jalur grafik terdahulu kini telah dikemaskini semula, melibatkan warna kelabu yang kini kelihatan lebih menonjol. Untuk model berwarna Mat Gunpowder Black Metallic pula, sentuhan warna oren ternyata kini menyerlahkan lagi penampilan model tersebut berbanding model tahun sebelumnya.

Honda CBR650R 2022 merupakan sebuah model sportbike dalam kelas pertengahan, yang dikuasakan enjin 649cc (liquid-cooled, 4-stroke, 16-valve, DOHC inline-4 cylinder) dengan transmisi enam kelajuan, serta patuh piawaian emisi Euro 5. Jumlah keluaran kuasanya mencapai 93.8hp @ 12,000rpm, dengan tork maksimum 63Nm @ 9,500rpm.