Benelli Imperiale 400 SE (N1) 2022 di pasaran Malaysia kini tampil lebih bergaya dan elegan

Untuk pasaran tempatan, Benelli Malaysia (MForce Bike Holdings Sdn. Bhd.) sebelum ini telah melancarkan model bergaya klasik Benelli Imperiale 400 2020. Model tersebut terus ditawarkan sehingga ke tahun 2021, dan kini versi terbaharu Benelli Imperiale 400 SE (N1) 2022 pula muncul dengan penampilan yang lebih bergaya dan lebih elegan.

Benelli Imperiale 400 SE (N1) 2022, seperti mana yang dipaparkan di dalam laman web Benelli Malaysia, masih kekal dengan pilihan warna sebelum ini iaitu Kelabu, Hitam dan Merah. Namun jika diperhatikan dengan teliti, terdapat perubahan rekaan yang kini lebih menarik pada logo Benelli dan Imperiale, di samping perbezaan tank pad tangki petrol.

Di bahagian enjin, Benelli Imperiale 400 dilengkapi enjin dengan kapasiti 374cc (single cylinder, 4-stroke, air cooled, single overhead camshaft SOHC, double spark, electronic fuel injection) yang digandingkan dengan kotak gear lima kelajuan. Janaan kuasa yang dihasilkannya mencapai 21PS @ 5,500rpm, dengan tork tertinggi 29Nm @ 4,500rpm.

Sistem suspensi depan Benelli Imperiale 400 terdiri daripada unit fork jenis teleskopik dengan diameter 41 mm dan jarak travel 121 mm, manakala dua penyerap hentak jenis berkembar di bahagian belakang hadir dengan travel 55 mm. Rekaan sistem ekzos dan tangki minyak termasuk lampu jenis bulat menyerlahkan perwatakan retro model itu.

Untuk pemberhentian yang efektif, Benelli Imperiale 400 didatangkan sistem brek depan dengan cakera berdiameter 300 mm dengan kaliper terapung dua piston, diikuti oleh cakera 240 mm di bahagian belakang dengan kaliper terapung dan satu piston tunggal. Dengan sistem ABS dua saluran, tahap keselamatan model itu akan sentiasa terjamin.

Beralih ke bahagian roda, rim berjejari yang melengkapinya mempunyai diameter yang berbeza, di mana untuk bahagian depan ukurannya ialah 19 inci, manakala di bahagian belakangnya ialah 18 inci. Kedua-dua rim itu kemudiannya dipasangkan tayar dalam siri 100/90-R19 dan 130/80-R18. Tangki bahan apinya hadir dengan kapasiti penuh 12 liter.

Untuk pasaran Malaysia, Benelli Imperiale 400 model tahun 2020 dan 2021 sebelum ini ditawarkan pada harga asas sebanyak RM 15,888.00 (tidak termasuk kos pendaftaran, insuran dan cukai jalan). Namun untuk versi terbaharu 2022 ini, harganya mungkin lebih tinggi. Untuk maklumat lanjut, anda boleh kunjungi bilik pameran pengedar berdekatan.

Galeri : Benelli Imperiale 400 SE (N1) 2022

Galeri : Benelli Imperiale 400 2020 / 2021