Yamaha MT-09 2022 terima warna baharu Cyan Storm untuk pasaran Eropah

Untuk pasaran Malaysia, Yamaha MT-09 2021 serba baharu telah diperkenalkan pada bulan November 2021 yang lepas, dengan harga jualan RM 54,998.00 (tidak termasuk pendaftaran, insuran dan cukai jalan). Untuk pasaran Eropah pula, Yamaha MT-09 versi 2022 baru saja diperkenalkan, kini tampil dengan pilihan warna terbaharu Cyan Storm.

Setakat ini kesemua model dalam siri Yamaha MT di pasaran Eropah telah menerima skim warna terbaharu Cyan Storm (kecuali model SP), termasuklah model Yamaha MT-10, Yamaha MT-07, Yamaha MT-03 dan Yamaha MT-125. Warna asas yang digunakan pada skim warna itu ialah Cyan, dan dapat dilihat pada rim roda dan jalur grafik baharu.

Selain pilihan warna Cyan Storm, Yamaha MT-09 2022 juga boleh didapati dalam dua pilihan warna lain yang tidak kurang menariknya iaitu Icon Blue dan Tech Black. Beralih ke bahagian teknikal, ianya kekal sama, antaranya dilengkapi enjin 889cc (liquid-cooled, 4-stroke, 4-valves, 3-cylinder, DOHC) bertaraf Euro 5 dengan transmisi enam kelajuan.

Yamaha MT-09 kini menghasilkan kuasa maksimum 119PS @ 10,000rpm, dengan tork puncak 93Nm @ 7,000rpm. Beratnya juga kini lebih ringan berbanding model generasi sebelumnya, berada pada paras hanya 189 kg (wet weight). Setakat ini, belum ada info bilakah skim warna baharu Cyan Storm ini akan turut ditawarkan di pasaran Malaysia.