Keeway Cafe Racer 152 masih di pasaran untuk tahun 2022

Walaupun pelbagai model motosikal terbaharu telah berada di pasaran pada ketika ini, namun MForce Bike Holdings Sdn. Bhd. masih menawarkan model Keeway Cafe Racer 152 untuk tahun 2022. Dilancarkan di pasaran Malaysia secara rasmi pada penghujung tahun 2017 yang lalu, harga jualan asasnya ditetapkan sekitar RM 6,500.00 sahaja.

Keeway Cafe Racer 152 bukanlah sebuah motosikal biasa, dan ianya disasarkan hanya untuk peminat kental yang mahu bergaya dengan sebuah model unik dan jarang-jarang dapat dilihat di jalan raya. Spesifikasi teknikalnya juga sederhana, dengan kelengkapan enjin bersesaran hanya 149cc, dengan sistem karburetor dan penyejukan jenis udara.

Enjin empat lejang satu silinder dengan dua injap itu kemudiannya dipadankan dengan kotak gear lima kelajuan, dan ianya turut disediakan dengan sistem penghidup tendang dan elektrik. Kuasa maksimum yang ditawarkan enjin itu mencapai 11.4hp @ 8,500rpm, dengan tork puncak 11.1Nm @ 6,000rpm. Kapasiti tangki bahan apinya ialah 12.1 liter.

Fork depan Keeway Cafe Racer 152 merupakan jenis teleskopik, digandingkan dengan suspensi belakang jenis berkembar (telescopic coil spring oil damped). Sistem breknya merupakan cakera 220 mm di bahagian depan, dan di bahagian belakangnya ialah brek dram. Saiz tayar depan dan belakang ialah 17 inci, dan berat kering model itu 108 kg.

Keeway Cafe Racer 152 tersedia dalam dua pilihan warna menarik iaitu Black dan Blue. Untuk anda yang berminat, boleh kunjungi mana-mana cawangan pengedar berdekatan untuk mendapatkan maklumat lebih lanjut, atau untuk melihat sendiri motosikal tersebut dengan lebih dekat. Untuk anda, saksikan galeri gambar-gambar menariknya di bawah.