Dalam bulan Disember 2021 yang lepas, TVS Motor Company telah mengumumkan siri Race Performance (RP), yang telah diinspirasikan daripada barisan jentera perlumbaan berprestasi tinggi TVS Racing. Model pertama di dalam siri baharu itu ialah TVS Apache RTR 165 RP 2022, terhad 200 unit, dengan harga jualan Rs. 1,45,000 (RM 8,141.16).
TVS Apache RTR 165 RP dikatakan sebagai sebuah jentera paling berprestasi tinggi di dalam kategorinya, yang dikuasakan enjin bersesaran 164.9cc (SI, 4 stroke, Oil cooled, SOHC, Fuel Injection, 4 valves) dengan kotak gear lima kelajuan, dan menghamburkan kuasa maksimum 19.2PS @ 10,000rpm dengan tork maksimum 14.2Nm @ 8,750rpm.
Antara ciri-ciri utama yang didatangkan untuk model TVS Apache RTR 165 RP itu ialah jalur grafik TVS Racing, teknologi slipper clutch dengan talaan perlumbaan, tuil klac dan brek boleh laras, lampu depan baharu dengan ciri Front Position lamp (FPL) yang boleh beroperasi serentak ketika lampu rendah atau pun tinggi, tayar belakang radial, rim aloi berwarna merah, pelekat custom, rantai pemacu dan gegancu bersalut tembaga, serta brek cakera belakang dengan diameter 240 mm, yang pertama di dalam segmennya.
Di bahagian suspensi, TVS Apache RTR 165 RP dilengkapi fork depan teleskopik dan monoshock belakang daripada Showa, dengan talaan khas perlumbaan. Rangka model tersebut ialah Double cradle Split Synchro Stiff Frame yang kukuh. Sistem brek cakera depannya berdiameter 270 mm, lengkap dengan ABS Single Channel, manakala tayar depan dan belakang jenis tubeless didatangkan dalam siri 90/90-17 dan 130/70 R17.
TVS Apache RTR 165 RP 2022 seterusnya dilengkapi lampu depan dan belakang LED, panel meter digital bercirikan perlumbaan, tangki bahan api 12 liter, tinggi tempat duduk 800 mm, jarak kelegaan bumi 180 mm, dan berat keseluruhannya 148 kg (kerb weight). Kelajuan maksimum jentera Race Performance (RP) pertama ini mencapai 123 km/j.