CFMOTO 700CL-X Sport 2022 bakal dilancarkan di pasaran Malaysia, anggaran harga di bawah RM 35k

Masih lagi hangat dengan pelancaran model CFMOTO 700CL-X Heritage 2022, namun CFMOTO Malaysia kini mengumumkan bahawa mereka akan melancarkan sebuah lagi model baharu untuk pasaran tempatan iaitu CFMOTO 700CL-X Sport 2022. Setakat ini anggaran harga untuk model tersebut adalah antara RM 33k sehingga RM 35k sahaja.

CFMOTO 700CL-X Sport sebelum ini telah pun dilancarkan di pasaran China, dengan harga jualan sebanyak CNY 47,800, bersamaan RM 31,425.98 berdasarkan kadar mata wang semasa. Berbanding 700CL-X Heritage yang tampil dengan gaya klasik, 700CL-X Sport pula merupakan sebuah model cafe racer dengan gaya penampilan lebih agresif.

Di bahagian enjin, kedua-dua model tersebut dilengkapi enjin bersesaran 693cc dengan transmisi enam kelajuan, yang menghasilkan prestasi maksimum 73.7hp @ 8,500rpm dengan tork puncak 68Nm @ 6,500rpm. Untuk tunggangan lebih mudah, model itu turut dilengkapi sistem CF-SC Slipper Clutch dan dua mod tunggangan iaitu Eco dan Sport.

Kelengkapan spesifikasi lain pada CFMOTO 700CL-X Sport antaranya ialah fork depan upside-down KYB boleh laras sepenuhnya, suspensi belakang mono KYB, brek cakera depan berkembar dengan kaliper Brembo Stylema empat piston, ABS, teknologi Cruise  Control, sistem lampu LED sepenuhnya, port pengecas USB dan panel meter digital.

CFMOTO 700CL-X Sport kemudiannya dilengkapi roda depan dan belakang berukuran  120/70-ZR17 dan 180/55-RZ17, ketinggian tempat duduk 795 mm, jarak kelegaan bumi 160 mm dan berat 205 kg. Untuk peminat dan bakal pembeli yang mahu memiliki model berkenaan, tempahan kini telah pun dibuka di cawangan pengedar CFMOTO Malaysia.

Sumber : CFMOTO Branch Cheras KL FB