Skuter kembara Aveta ADV150 2022 telah dikhabarkan bakal dilancarkan pada suku pertama atau kedua tahun ini

Di pasaran Malaysia pada ketika ini, terdapat dua pilihan model skuter popular di dalam segmen kembara iaitu Honda ADV150 dan WMoto Xtreme 150i. Dalam masa terdekat sebuah lagi model terbaharu di dalam segmen adventure itu bakal memberikan saingan sengit kepada kedua-dua model berkenaan, tidak lain ialah Aveta ADV150 2022.

Spekulasi mengenai pelancaran Aveta ADV150 di pasaran Malaysia sebenarnya telah bermula sejak awal tahun lepas lagi, dan ianya kemudian telah dibuktikan benar melalui petunjuk pertama yang disiarkan oleh Aveta melalui paparan imej bersempena ucapan sambutan hari kebangsaan kali ke-64, yang disiarkan pada bulan Ogos 2021 yang lalu.

Berdasarkan maklumat terkini, Aveta ADV150 bakal dilancarkan sebagai model tahun 2022, dengan pelancaran rasminya dikatakan akan berlangsung sama ada dalam suku pertama atau kedua tahun ini. Harga jualannya nanti dijangka sekitar RM 10k sehingga RM 11k, sama seperti harga FKM Venture 150 2021 yang dijual di pasaran Filipina.

Kita imbas kembali spesifikasi Aveta ADV150, yang mana ianya dikuasakan enjin 150cc dengan kuasa maksimum 16.45PS @ 8,500rpm dan tork puncak 14.6Nm @ 6,500rpm. Tangki bahan apinya pula mempunyai kapasiti penuh yang impresif iaitu 9.3 liter, cukup untuk perjalanan adventure yang lebih jauh tanpa perlu kerap berhenti mengisi petrol.

Pelbagai ciri-ciri menarik yang menjadi kekuatan model skuter tersebut antaranya ialah paparan kamera depan dan juga belakang, sistem lampu LED, skrin penghadang angin boleh laras, pelbagai butang di handlebar dengan lampu latar LED yang berguna pada waktu malam, panel meter digital, sistem kunci keyless dan brek cakera dengan ABS.

Namun untuk pasaran Malaysia, belum dapat dipastikan adakah semua spesifikasi dan ciri-ciri lengkapnya akan ditawarkan seperti mana di pasaran China. Yang penting Aveta ADV150 2022 ini mempunyai kemampuan untuk merentas jalanan off road, walaupun tidak terlalu ekstrem, seperti mana yang dibuktikan oleh pihak media di negara China.