CFMOTO pada penghujung tahun yang lepas dengan rasminya telah memperkenalkan model naked terbaharu CFMOTO 250NK 2022 untuk pasaran China. Model berkenaan hadir dengan dua pilihan warna yang begitu sporty dan menyerlah iaitu Athens Blue dan Nebula Black, seterusnya didatangkan dalam dua pilihan varian iaitu ABS dan CBS.
Berbanding model generasi terdahulu, versi terbaharu CFMOTO 250NK 2022 kini telah menerima beberapa peningkatan terkini, sama ada dari segi kosmetik, kualiti komponen dan prestasi tunggangan yang lebih sporty dan agresif, termasuk sistem brek yang lebih mantap. Malah enjin model tersebut juga kini telah dinaik taraf menjadi lebih berkuasa.
CFMOTO 250NK 2022 masih dikuasakan enjin bersesaran 249.2cc (Single cylinder, 4-stroke, Liquid cooled, 4-value, DOHC) yang dipadankan dengan sistem transmisi enam kelajuan. Keluaran kuasa maksimum yang dihasilkan enjin tersebut kini telah mencecah 20.5kW (27.5hp) @ 9,750rpm, dengan tork maksimumnya setinggi 22Nm @ 7,500rpm.
Antara ciri-ciri yang melengkapi model naked tersebut termasuklah panel meter digital, sistem lampu LED, fork depan jenis upside-down, suspensi belakang monoshock, brek cakera depan dan juga belakang, tayar depan dan belakang dalam siri 110/70-R17 dan 140/60-R17, tangki petrol 12.5 liter, ketinggian tempat duduk 795 mm dan berat 158 kg.
Dari segi perbezaan, CFMOTO 250NK 2022 pastinya berbeza dari segi sistem breknya, yang ditawarkan dalam pilihan sama ada dengan ABS atau CBS. Selain itu, varian ABS dilengkapi panel meter digital TFT LCD sepenuhnya, manakala varian CBS dibekalkan panel monokrom LCD biasa. Varian ABS turut dilengkapi dengan sliding clutch CF-SC.
Untuk pasaran China, CFMOTO 250NK 2022 ditawarkan dengan harga jualan bermula dari CNY 15,900 (RM 10,469.92) untuk varian CBS, dan CNY 18,900 (RM 12,445.37) untuk varian ABS. Untuk pasaran Malaysia, model naked terbaharu yang tampil sporty dan agresif ini dijangka akan turut dilancarkan, sebagai ganti untuk model sebelumnya.