Adakah Honda RS-X untuk musim 2022 bakal mendapat harga baru mulai tarikh 01hb. Januari 2022?

Sejak ianya dilancarkan secara rasmi pada tarikh 01hb. November 2021, Honda RS-X 2021 kini telah terbukti menjadi salah sebuah model moped popular di pasaran negara kita. Lebih menarik lagi ialah apabila Boon Siew Honda telah menyediakan banyak stok untuk model berkenaan, dan boleh didapati dengan mudah di setiap kedai motosikal.

Berdasarkan pemerhatian, Honda RS-X dengan warna Trico lebih menjadi pilihan ramai peminat, namun dua lagi warna iaitu Candy Caribbean Blue Sea dan Lemon Ice Yellow juga tidak kurang hebatnya. Tambahan pula, harga jualan tunai atas jalan (OTR) yang ditawarkan sekitar RM 9,500.00 pada ketika ini adalah sangat berbaloi dan berpatutan.

Bagaimanapun sejak penghujung bulan November 2021 yang lepas, telah kedengaran desas-desus mengenai harga Honda RS-X untuk musim 2022, yang kononnya bakal menerima harga baru yang lebih tinggi bermula tarikh 01hb. Januari 2022 akan datang. Menurut sumber, desas-desus itu awalnya datang daripada pihak wakil penjual sendiri.

Perkara itu mungkin benar, kerana pihak kerajaan sebelum ini telah memperkenalkan pengecualian duti eksais 100 peratus untuk motosikal versi pemasangan tempatan atau CKD dengan enjin di bawah 150cc, bagi tempoh 01hb. April sehingga 31hb. Disember 2021. Pengecualian cukai itu diperkenalkan kerajaan di bawah insentif PEMERKASA.

Disebabkan insentif pengecualian duti eksais 100 peratus itu, harga jualan asas untuk Honda RS-X sebelum ini telah ditetapkan sebanyak RM 8,688.00 sahaja. Jadi dengan berakhirnya insentif itu nanti, sudah pastilah harga jualan asasnya akan kembali kepada harga asal. Mungkinkah harga barunya nanti akan menjangkau sehingga RM 9,688.00?

Setakat ini, belum ada sebarang pengumuman rasmi daripada pihak Boon Siew Honda mengenai harga baru untuk Honda RS-X bagi musim 2022. Adalah lebih baik jika harga jualannya pada ketika ini terus dikekalkan, namun ianya dirasakan mustahil. Apatah lagi harga motosikal di pasaran negara kita tidak termasuk dalam senarai harga kawalan.

Untuk maklumat yang lebih tepat mengenai harga jualan asas untuk Honda RS-X bagi musim 2022, buat masa ini kita hanya perlu menunggu maklumat rasmi daripada pihak Boon Siew Honda sendiri, atau bertanyakan secara terus kepada pihak wakil penjual @ pengedar sah seperti Honda Impian X, pada tarikh 01hb. Januari 2022 akan datang.