Skuter elektrik Ovaobike CT-X 2022 muncul di EICMA 2021

Pada masa hadapan, skuter elektrik mungkin akan menjadi pilihan kebanyakan peminat motosikal tempatan. Ini kerana ianya lebih menjimatkan kos kerana tidak menggunakan petrol, di samping lebih mesra alam sekitar. Namun begitu sebelum ianya bakal menjadi kenyataan, gaya dan rekaan skuter elektrik perlulah sporty dan tidak membosankan.

Antara contoh menarik skuter elektrik terbaharu yang berpenampilan sporty dan agresif ialah Ovaobike CT-X 2022, yang baru saja diperkenalkan di pameran motosikal EICMA 2021 yang berlangsung di Milan, Itali (25 – 28 November 2021). Model skuter elektrik itu dibangunkan oleh syarikat pengeluar ottobike Co., Ltd., yang berpengkalan di Taiwan.

Melihat kepada gaya rekaannya, Ovaobike CT-X ini tampil bagaikan model skuter yang menggunakan enjin pembakaran dalaman konvensional, padahal ianya menggunakan tenaga elektrik sepenuhnya. Menurut maklumat dari brosur, bateri yang melengkapinya mampu dicas dalam tempoh 3 jam, atau hanya 30 minit menggunakan Quick Charge.

Dengan sekali cas, Ovaobike CT-X mampu ditunggang sejauh 115 km dengan kelajuan malar 50 km/j. Kelajuan maksimumnya pula boleh dikatakan impresif, apabila mencapai 125 km/j (Sport Mode) dan 145 km/j (Turbo Mode). Jumlah kuasa yang dihasilkan motor elektriknya ialah 15kW, dengan tork yang mencecah 35Nm / 279 Nm (Motor / Wheel).

Di bahagian suspensi, Ovaobike CT-X dilengkapi fork depan upside-down dan suspensi belakang monoshock, manakala sistem brek cakera di depan dan belakangnya lengkap dengan ABS. Tayar depan dan belakangnya masing-masing berukuran 110/80-R14 dan 140/70-R14, yang seterusnya menyumbang kepada ketinggian tempat duduk 805 mm.

Ovaobike CT-X kemudiannya dilengkapi ciri-ciri menarik seperti TFT Dashboard, Light Sensor Switched Headlight, Side Stand Safety Sensor dan sistem Keyless. Berat model skuter elektrik itu ialah 120 kg, termasuk pek bateri. Setakat ini belum dapat dipastikan berapakah harganya, dan adakah ianya juga akan dibawa masuk ke pasaran Malaysia.