Sempena dengan pembukaan tayangan filem superhero Spider-Man : No Way Home yang bermula dalam minggu ini, Yamaha di pasaran Brazil kini memperkenalkan model skuter istimewa Yamaha NMAX 160 Spider-Man Edition 2022. Dikeluarkan dalam edisi terhad, harga jualannya adalah sebanyak BRL 16,490.00, bersamaan RM 12,270.40.
Yamaha NMAX 160 Spider-Man Edition 2022 mempunyai penampilan yang menyerlah, apabila ianya menggabungkan beberapa warna untuk disesuaikan dengan tema warna Spider-Man, termasuk paparan grafik Limited Edition, labah-labah dan logo Avengers. Namun spesifikasi teknikal kekal sama, tanpa keupayaan senjata menembak jaringnya.
Dikuasakan enjin bersesaran 155cc (Single Cylinder, Liquid-Cooled, 4-stroke, SOHC, 4-valve) dengan teknologi VVA dan sistem transmisi automatik CVT, kuasa maksimumnya ialah 15.4PS @ 8,000rpm dengan tork maksimum 13.9Nm @ 6,000rpm. Kapasiti penuh tangki bahan apinya ialah 7.1 liter, dan mempunyai berat hanya 131 kg (wet weight).
Yamaha NMAX 160 Spider-Man Edition 2022 seterusnya didatangkan pelbagai ciri-ciri menarik, antaranya ialah sistem Stop & Start, brek ABS Dual Channel, soket pengecas 12V, sistem lampu LED, panel meter digital LCD dan ruang yang luas di bawah tempat duduk. Menarik juga kalau model ini turut ditawarkan di pasaran Malaysia oleh HLYM.