Baru-baru ini susulan daripada tersebarnya gambar-gambar spyshot unit ujian Yamaha 135LC V8 2022 yang dijangka bakal dilancarkan pada tahun depan, telah membuatkan timbulnya kemungkinan bahawa model moped popular Yamaha Y15ZR akan dihentikan pengeluarannya. Untuk rujukan, artikel berkenaan boleh dibaca melalui pautan di sini.
Untuk lebih menguatkan lagi tentang kemungkinan itu ialah Yamaha Y15ZR di pasaran Thailand dan Filipina kini telah pun dihentikan pengeluarannya, sejak beberapa bulan yang lepas. Di pasaran Thailand, model moped tersebut dikenali dengan nama Yamaha Exciter 150, manakala di pasaran Filipina ianya diberikan nama Yamaha Sniper 150.
Yamaha Exciter 150 dan Yamaha Sniper 150 di pasaran Thailand dan Filipina telah pun dihentikan pengeluarannya, selepas pelancaran rasmi Yamaha Exciter 155 2021 dan Yamaha Sniper 155 dan 155R 2021. Jadi tidaklah mustahil jika pasaran Malaysia akan menerima nasib yang sama, termasuk pasaran Vietnam, Indonesia dan juga Singapura.
Namun ini semua hanyalah kemungkinan sahaja, yang tidak semestinya akan menjadi kenyataan. Yamaha di pasaran Thailand dan Filipina tentunya mempunyai perancangan dan strategi mereka sendiri, ketika membuat keputusan untuk menamatkan penawaran model Yamaha Exciter 150 dan Yamaha Sniper 150, tidak seperti di pasaran Malaysia.
Berdasarkan tinjauan secara tidak rasmi sebelum ini, ramai peminat motosikal tempatan yang mengharapkan Yamaha Y15ZR akan terus ditawarkan seperti biasa, kerana ianya mempunyai harga yang lebih rendah dan berpatutan berbanding Yamaha Y16ZR. Pada pendapat anda, adakah HLYM bakal mengikuti jejak langkah Thailand dan Filipina?
Galeri : 2020 Yamaha Exciter 150 (Thailand)
Galeri : 2020 Yamaha Sniper 150 (Filipina)