Boon Siew Honda perkenal Honda Rebel 2022, kini dengan pilihan warna baharu Pearl Organic Green

Boon Siew Honda memperkenalkan Honda Rebel 2022 untuk pasaran Malaysia, yang kini didatangkan dengan pilihan warna baharu Pearl Organic Green. Pada masa yang sama, dua pilihan warna terdahulu Graphite Black dan Matte Jeans Blue Metallic masih lagi dikekalkan. Harga jualan asas untuk model cruiser tersebut ialah RM 32,899.00.

Honda Rebel 2022 dilengkapi enjin berkapasiti 471cc (Liquid-Cooled, 4-Stroke, DOHC Twin Cylinders, PGM-FI), dengan keluaran kuasa maksimum 45.6hp @ 8,500rpm dan tork maksimum 43Nm @ 6,500rpm. Enjin itu kemudiannya dipadankan sistem transmisi enam kelajuan dan Assist & Slipper Clutch, untuk ciri tunggangan yang lebih mudah.

Honda Rebel seterusnya dilengkapi panel meter digital berbentuk bulat, sistem lampu LED sepenuhnya, fork depan teleskopik, penyerap hentak belakang berkembar, sistem brek ABS Dual Channel, ketinggian tempat duduk hanya 690 mm, tangki bahan api 11.2 liter, saiz tayar depan dan belakang 130/90-R16 dan 150/80-R16, dan berat 190 kg.

Tempoh jaminan yang ditawarkan oleh Boon Siew Honda untuk Honda Rebel 2022 ini adalah selama 2 tahun atau 20,000 km, yang mana tiba dahulu. Untuk maklumat lebih lanjut, melihat model tersebut dengan lebih dekat dan untuk membuat tempahan, para pelanggan boleh mengunjungi mana-mana bilik pameran pengedar Honda Big Wing.