Honda CBR250RR SP 2022 di pasaran Thailand tampil dengan skim warna baharu Tri-Colour

Model sportbike dua silinder berprestasi tinggi Honda CBR250RR SP 2022 baru-baru ini rasmi diperkenalkan di pasaran Thailand, kini tampil dengan skim warna baharu Tri-Colour yang cukup menarik dan sporty. Skim warna tersebut sebelum ini diperkenalkan untuk pasaran Indonesia, dan mungkin selepas ini akan tiba di pasaran Malaysia pula.

Untuk pasaran Thailand, Honda CBR250RR SP 2022 edisi warna baharu Tri-Colour kini ditawarkan dengan harga jualan bermula dari THB 249,000, bersamaan RM 31,062.50. Beralih ke bahagian teknikal, ianya dikuasakan enjin dalam sesaran 249cc (4-Stroke, 8-Valve, Parallel Twin), seterusnya dipadankan dengan sistem transmisi enam kelajuan.

Enjin tersebut menghasilkan kuasa maksimum 41PS @ 13,000rpm dan tork maksimum 25Nm @ 11,000rpm, dengan kelajuan puncaknya (top speed) dikatakan mencecah 180 km/j. Bertaraf perlumbaan, model itu turut dilengkapi sistem Throttle-By-Wire, 3 Riding Modes, Assist & Slipper Clutch, Quick Shifter, dan juga sistem brek ABS Dual Channel.

Spesifikasi menarik lain yang melengkapi model tersebut ialah fork depan upside-down, suspensi belakang Pro-Link dengan lima tahap pelarasan, lengan ayun aluminium, brek cakera depan dan belakang, rim aloi aluminium, muffler ekzos berkembar, panel meter digital, sistem lampu LED, ketinggian tempat duduk 790 mm, dan berat hanya 168 kg.