Benelli VZ125i SE 2021 terima kemaskini warna baharu yang lebih sporty dan menawan

Benelli Malaysia baru-baru ini rasmi memperkenalkan model skuter kompak terbaharu Benelli VZ125i Special Edition (SE) 2021, yang kini menerima kemaskini warna baharu yang lebih sporty dan menawan. Tiga pilihan warna baharu itu ialah Light Blue, Yellow, dan Red Brown, yang turut didatangkan dengan kemaskini jalur grafik rekaan terkini.

Harga jualan asasnya kini telah ditetapkan sebanyak RM 5,838.00 (tidak termasuk kos pendaftaran, insuran dan cukai jalan), sedikit tinggi berbanding model sebelumnya. Selain daripada perubahan skim warna dan grafik, spesifikasi teknikal masih lagi sama. Ianya dikuasakan enjin 124cc (1-cylinder, 4-stroke, SOHC, air-cooled) dengan sistem suntikan bahan api elektronik, dan dipadankan sistem transmisi automatik CVT.

Jumlah kuasa maksimum yang dihasilkan oleh enjin yang mematuhi piawaian Euro 3 itu mencapai angka 8.4hp @ 7,500rpm, dengan tork puncak 9.2Nm @ 6,000rpm. Kapasiti maksimum tangki bahan api pada model skuter berkenaan ialah 4.7 liter. Tinggi tempat duduknya berada pada paras 735 mm, sangat sesuai untuk kebanyakan penunggang.

Benelli VZ125i SE 2021 tampil dengan reka bentuk yang bergaya, serta didatangkan dengan pelbagai ciri-ciri moden dan praktikal. Antaranya ialah sistem lampu jenis LED sepenuhnya termasuk lampu LED DRL di bahagian depan, panel meter digital, ruang kompatmen di bahagian depan, ruang barangan yang luas di bawah pelana, pengecas USB dan sistem brek cakera depan 220 mm dengan kaliper dua piston yang mantap.

Selain itu ianya juga dilengkapi penyerap hentak belakang tunggal berjenama Kayaba dengan sub-tank untuk prestasi tunggangan yang lebih stabil dan selesa, panel pemijak lantai dengan plat aluminium, tayar tanpa tiub dalam siri 70/90-R14 (depan) dan 80/90-R14 (belakang), dan juga rekaan rim roda dan mufller ekzos yang tampil begitu sporty.

Sumber gambar : 1, 2, 3 & 4