Seperti mana yang dijangkakan, model moped terbaharu Honda RS-X 2021 pada ketika ini mendapat sambutan yang begitu hangat daripada peminat motosikal tempatan. Oleh itu tidak keterlaluan jika dikatakan ianya bakal menjadi model moped terlaris di pasaran tempatan tidak lama lagi, jauh mengatasi populariti model terdahulu Honda RS150R.
Antara sebab-sebab kenapa Honda RS-X 2021 ini begitu diminati dan digilai ramai ialah kerana reka bentuknya yang sporty, enjinnya yang berkuasa, pilihan warna yang cukup menarik, dan paling penting harga jualannya yang sungguh berpatutan. Tambahan pula Boon Siew Honda telah menyediakan stok yang banyak untuk model tersebut ketika ini.
Setakat ini harga jualan tunai atas jalan (On The Road) untuk Honda RS-X 2021 berada dalam lingkungan RM 9,500.00 sahaja, yang mana rata-rata peminat model berkenaan merasakan ianya masih lagi berpatutan dan mampu milik. Jika harganya meningkat ke paras melebih RM 10k, mungkin ramai yang akan beralih ke model pesaing yang lain.
Bagaimanapun spesifikasi teknikal dan ciri-ciri lain Honda RS-X 2021 tidaklah lengkap sepenuhnya, apabila ianya masih belum dilengkapi sistem kunci pintar, assist & slipper clutch, teknologi Honda Selectable Torque Control, tangki bahan api maksimum dengan kapasiti lebih besar, brek cakera depan dengan kaliper dua pot dan pengecas USB.
Semua itu termasuk ciri-ciri menarik yang lain dijangka akan diperkenalkan pada versi atau generasi kedua model berkenaan, termasuklah kemungkinan dibekalkan kapasiti enjin yang lebih besar dengan janaan jumlah kuasa dan tork yang lebih tinggi. Mungkin tidak lama lagi pasaran Vietnam akan menerima pelancaran generasi baharu tersebut.
Untuk peminat model Honda RS150R pula yang ketika ini masih lagi ditawarkan untuk pasaran tempatan, harga jualannya setakat ini sangat berpatutan iaitu sekitar RM 7.5k sahaja, atau mungkin lebih rendah. Namun begitu sudah pasti ramai yang akan memilih Honda RS-X 2021, kerana alang-alang membeli biarlah ianya sebuah model terkini.