Honda RS-X 2021 – harga tunai OTR kini mencecah RM 11k?

Model moped terbaharu Honda RS-X 2021 akhirnya rasmi dilancarkan di pasaran negara kita, dengan harga jualan asas ditetapkan sebanyak RM 8,688.00 sahaja (tidak termasuk kos pendaftaran, insuran dan cukai jalan). Namun begitu apabila sampai di wakil pengedar dan kedai motosikal nanti, harga tunai di atas jalan (On The Road) pastinya lebih tinggi.

Berdasarkan tinjauan yang dilakukan di beberapa buah kedai motosikal kelmarin, harga jualan tunai OTR untuk Honda RS-X 2021 ditetapkan sekitar RM 9,500.00 sahaja, dengan insuran ‘first party all-rider’. Harga itu boleh dikatakan berpatutan, setelah mengambil kira kos pendaftaran yang dikenakan, termasuk kos pembelian insuran dan cukai jalan.

Namun begitu seperti kebiasaannya, kebanyakan wakil pengedar dan pihak pekedai juga menawarkan harga jualan tunai OTR yang lebih tinggi, dengan ada diantaranya mencecah sehingga RM 11k. Terdapat dua faktor utama kenapakah harga jualan Honda RS-X 2021 akan meningkat lebih tinggi, sama seperti harga model Yamaha Y15ZR sebelum ini.

Faktor pertama ialah harga motosikal yang ditawarkan di pasaran Malaysia tidak dikawal oleh pihak kerajaan. Ini bermakna wakil penjual dan kedai motosikal bebas meletakkan harga jualan yang mereka fikirkan sesuai, demi mendapatkan keuntungan semaksimum mungkin. Kedai motosikal adalah berteraskan keuntungan dan bukannya pihak kebajikan.

Faktor kedua lebih bergantung kepada sejauh manakah popularnya model yang dijual itu. Seandainya Honda RS-X 2021 ini menjadi sangat popular dan mendapat permintaan yang tinggi, sudah tentu akan berlaku pemintaan yang melebihi tawaran. Oleh itu berdasarkan teori ekonomi yang telah terbukti, harga jualannya bakal meningkat ke paras lebih tinggi.

Apabila berlakunya pemintaan melebihi tawaran, ini bermakna tempoh menunggu untuk Honda RS-X 2021 akan menjadi lebih lama, mungkin akan mengambil masa sehingga ke beberapa minggu atau beberapa bulan. Jadi untuk pelanggan yang mahu memiliki model tersebut dengan lebih cepat, mereka sanggup membayar dengan harga yang lebih tinggi.

Bagi mendapatkan harga terbaik untuk Honda RS-X 2021, para pelanggan perlulah lebih aktif dalam mencari kedai motosikal yang menawarkan harga paling rendah. Namun pada masa yang sama tempoh penghantaran juga perlu diambil kira. Seperti mana yang telah disebutkan tadi, harga yang lebih tinggi bermakna motosikal akan sampai lebih pantas.

Setakat ini melalui pemerhatian yang dilakukan, harga jualan motosikal yang terlalu tinggi di pasaran tempatan masih belum ada penyelesaiannya. Malah insentif pengecualian duti eksais 100 peratus untuk motosikal versi pemasangan tempatan atau CKD dengan enjin di bawah sesaran 150cc yang diperkenalkan oleh pihak kerajaan didapati telah gagal.

Terdapat juga kempen secara verbal yang anjurkan secara tidak rasmi untuk memboikot mana-mana model motosikal yang ditawarkan pada harga yang terlalu tinggi, namun pada hakikatnya harga Yamaha Y15ZR, Yamaha Y16ZR dan Yamaha Y16ZR Doxou Edition kekal berada pada paras yang tinggi, dan sudah tentu kita semua tahu apakah sebabnya.

Jadi tidak mustahil sekiranya harga Honda RS-X 2021 akan meroket sehingga ke paras yang lebih tinggi selepas ini, kerana ianya merupakan model moped yang sangat popular dan begitu dinanti-nantikan selama ini. Sama ada untuk membeli atau tidak membelinya, semuanya bergantung kepada sejauh manakah minat dan kemampuan yang kita ada.